SHAH ALAM: Selangor melancarkan Dasar Wanita Selangor (DWS) yang memberi fokus kepada lima tumpuan bagi membolehkan golongan itu berdaya saing serta mempunyai peluang sama seperti kaum lelaki.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, kerajaan negeri melihat dasar tersebut dengan melihat peranan yang dimainkan wanita disifatkan cukup penting.
“Lima titik tumpuan itu adalah pengarusperdanaan gender dalam pembangunan, ekonomi dan kehidupanper, wakilan dan kepimpinan, keselamatan dan kesejahteraan serta kreativiti dan inovasi.
“Kesemuanya digerakkan dengan beberapa pelan tindakan seperti memperkasakan kakitangan wanita di kalangan penjawat awam negeri, menganjurkan seminar dan persidangan mengenai kesaksamaan gender dan pemberdayaan wanita, mewujudkan pusat nasihat sehenti bagi perusahaan dan perniagaan kecil untuk wanita dan lain-lain lagi,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024-2026 semalam.
Jelasnya, selain aspek pembangunan, DWS turut memberikan perhatian kepada aspek kesihatan kepada wanita, yang mana aspek tersebut juga sama penting dengan kerjaya dan sosial golongan itu.
“Wanita Berdaya Saing Sdn. Bhd. (WBS), agensi pelaksana utama bagi memperkasakan DWS akan berjumpa dengan pemegang taruh serta agensi dalam sektor kesihatan bagi membincangkan bagaimana untuk meningkatkan tahap kesihatan wanita di negeri itu.
“Bagi tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM250,000 bagi menjalankan agenda yang diketengahkan dalam DWS dengan peruntukan tersebut digunakan bagi menjalankan program advokasi supaya rakyat negeri itu mengetahui dasar ini.
“Kita akan melihat sama ada peruntukan ini cukup atau tidak. Sekiranya perlukan peruntukan tambahan, kita akan mohon dengan kerajaan negeri nanti,” ujarnya. – UTUSAN










