KULIM: Sektor elektrik dan elektronik (E&E) negara tidak akan terjejas susulan rancangan Malaysia untuk menyertai organisasi antara kerajaan, BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, pasaran yang lebih luas dijangka memanfaatkan penyertaan Malaysia ke blok BRICS walaupun sektor E&E negara turut membabitkan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS).
“Kita masih akan mengekalkan sifat neutral kerana permintaan untuk sertai BRICS adalah untuk manfaat bersama disebabkan blok ini merangkumi sembilan negara yang meliputi 45 peratus populasi dunia.
“Ini satu pasaran yang sangat besar dan kita harap kita dapat peluang untuk akses ke dalam pasaran ini. Saya tidak melihat menyertai BRICS sebagai menukar pendirian dalam bersikap neutral, kita masih sama tetapi sertai BRICS untuk dapat manfaat ekonomi,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kesediaan Malaysia untuk menyertai BRICS.
Terdahulu, beliau menghadiri pelancaran tiga inisiatif utama iaitu peluncuran Pusat Inovasi Teknologi Industri (ITIC), perasmian Konsortium Penyelidikan Semikonduktor dan perasmian Akademi MIMOS di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, ujar Lih Kang, penyertaan dalam blok ekonomi BRICS hanyalah salah satu penyertaan dalam platform multilateral selain Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
“BRICS adalah salah satu platform multilateral yang kita akan sertai dan bukan sahaja Malaysia tetapi banyak negara turut berminat menyertainya termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi,” katanya. –UTUSAN










