PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan hubungan erat yang sudah terjalin antara pemerintahan Maharaja China dan Sultan Melaka sejak dahulu sudah terbukti menguntungkan kedua-dua negara.
Perdana Menteri berkata, hubungan Malaysia dan China dibina atas dasar sikap saling menghormati.
“Ramai rakan saya di luar negara mempersoalkan sama ada hubungan dua hala yang dipertingkatkan dengan China boleh merugikan Malaysia kerana Malaysia adalah sebuah negara yang kecil.
“Saya memberi jaminan bahawa hubungan kita (Malaysia-China) kukuh dalam sikap saling menghormati,” katanya semalam.
Malaysia dan China sepakat dalam kerjasama pelbagai bidang melalui pertukaran 14 memorandum persefahaman (MoU) sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Li Qiang ke Malaysia bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Antara intipati hasil perbincangan dua hala ialah tekad kedua-dua negara untuk memperkasa serta mempelbagaikan lagi aktiviti perdagangan antara Malaysia dan China.
Dalam lawatan selama tiga hari Li ke Malaysia lalu beliau turut mendesak agar gencatan senjata segar yang berkekalan dilaksanakan di Gaza, Palestin selepas krisis kemanusiaan di wilayah tersebut semakin memburuk.
Anwar berkata, kepercayaan terhadap sifat kepimpinan China kerana sifat mesra, berbudi bahasa dan menghormati terhadap Malaysia.
“Walaupun bertubi-tubi soalan dan naratif, terutamanya dari Barat. Saya telah menyaksikan pemahaman yang mendalam dan penghayatan perbezaan budaya daripada China.
“Sepanjang perbincangan kami, tidak ada tanda-tanda keangkuhan atau merendahkan diri. Kami menangani isu berbangkit sebagai rakan kongsi yang sama dan rakan yang dipercayai,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut mengambil kesempatan meyakinkan masyarakat Malaysia dan antarabangsa bahawa hubungan Malaysia dengan China dibina atas rasa hormat dan persahabatan yang tulus.
“Kami kekal komited untuk memupuk dan mengukuhkan ikatan antara Malaysia dan China,” katanya.
Anwar menegaskan Malaysia melihat hubungan dengan China bukan setakat dua hala, tetapi menerusi lensa strategik yang menyeluruh.
Beliau percaya menjadi kepentingan strategik Malaysia untuk menjalin persahabatan dan kerjasama dengan China, dan bukan sebaliknya.
“Kita berusaha sedaya upaya untuk melibatkan China secara diplomatik dan menyepadukannya ke dalam hal ehwal serantau kerana ia penting untuk masa depan kita bersama,” katanya. – UTUSAN










