KUALA LANGAT: Sambutan Hari TVET Negara 2024 yang berlangsung hari ini memanifestasikan keperluan sumber manusia berkemahiran dalam sektor teknikal dan vokasional seperti robotik, automotif dan sebagainya.
Ini kerana, kira-kira 50 syarikat serta beberapa institusi berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mempamerkan produk masing-masing serta keperluannya dalam pasaran.
Naib Presiden Bahagian Sumber Manusia dan Pentadbiran IFP Engineering Consultancy Sdn Bhd (IFP Engineering Consultancy), Rohana Abdul Aziz berkata, syarikatnya memerlukan sumber manusia berkemahiran secara spesifik dalam sektor TVET.
Menurutnya, sektor TVET amat penting dan memerlukan sumber manusia berkemahiran di semua peringkat seperti pekerja, tenaga pengajar dan sebagainya dalam pelbagai peringkat pekerjaan.
“Di IFP Engineering Consultancy, kami memerlukan pekerja dan pelatih dalam bidang kejuruteraan elektrik, mekanikal, arkitek pelan sistem perpaipan dan macam-macam lagi, kesemua itu adalah sektor yang berkemahiran khususnya berkaitan TVET.
“Memang diakui TVET amat penting dan mempunyai peluang pekerjaan dan keusahawanan bukan sahaja ketika ini, tetapi juga pada masa hadapan. Sehingga kini kami baru menerima kira-kira 20 permohonan dan amat mengalu-alukan lebih banyak lepasan TVET menyertai kami,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari TVET Negara 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini, hari ini.
Hampir 50 pempamer menyertai program tersebut terdiri daripada pemain industri dan institusi TVET dalam pengisian lima hub yang meliputi pameran TVET, seminar, pameran dan karnival kerjaya, keusahawanan serta cabaran TVET.
Sementara itu, seorang pengunjung, Amir Amsyar Nooradren, 20, memberitahu mengambil peluang pada program tersebut keputusan untuk hadir bagi melihat peluang menyambung pengajian dalam bidang teknikal dan vokasional serta peluang pekerjaannya.
“Saya kini sedang belajar dalam semester tiga Diploma Pengajian Islam di Universiti Sultan Azlan Shah, Perak. Dalam TVET, saya meminati bidang elektrikal kerana suka membaiki perkakasan elektrik dan bercadang mengambil latihan elektrikal sebaik sahaja habis pengajian diploma,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Huzaifah Rizam, 19, menyatakan hadir ke Sambutan Hari TVET Negara 2024 bagi melihat peluang pengajian dalam bidang tersebut dan memilih untuk memasuki Politeknik dalam bidang mekanikal.
“Bila datang sini, baru saya dapat memahami lebih lanjut khusus yang ditawarkan oleh politeknik. Nanti saya nak mohon masuk institut pengajian itu,” katanya yang tinggal di Banting.
Bagi seorang pekerja swasta, Mei Foong, 33, pula memberitahu, dia melihat kehadiran banyak syarikat berkaitan TVET membuka reruai pada Hari TVET Negara 2024 dapat mendekatkan pelajar dengan industri itu sendiri.
“Pelajar boleh mengetahui lebih lanjut mengenai prospek pekerjaan yang mereka boleh ceburi dalam bidang tersebut. Saya harap lebih banyak syarikat yang boleh sertai Hari TVET Negara pada masa akan datang,” ujarnya. – UTUSAN










