SEREMBAN: Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Dr. Roslan Hussin mengesahkan beliau setakat ini tidak menerima sebarang surat tawaran sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR
“Saya tidak menerima apa apa pun dokumen berkaitan perkara tersebut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Baru-baru ini media melaporkan, PKR mengumumkan pelantikan Roslan bersama dua yang lain sebagai ahli MPP parti itu yang baharu.
Perkara itu kemudian dibangkitkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker yang mempersoalkan larangan kepada penjawat awam khususnya pegawai tertinggi kerajaan memegang jawatan politik
Maklum balas mengenainya, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, Roslan masih memegang jawatan Pengarah JPNS dan memintanya terus fokus terhadap tugas itu.
Fadhlina menambah, setakat ini kementeriannya tidak menerima makluman berhubung dakwaan Roslan dilantik sebagai Ahli MPP PKR.
Sementara itu, Naib Presiden PKR yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun turut memaklumkan Roslan setakat ini tidak menerima sebarang surat tawaran sebagai ahli MPP PKR.
“Saya ada berjumpa dengannya dan beliau kata tidak menerima apa-apa surat mengenai tawaran tersebut,” katanya.
Aminuddin dalam pada itu menjelaskan, seseorang individu tidak semestinya kena menerima sebarang jawatan dalam parti sekiranya ada tawaran diberikan.
“Tidak semestinya kamu kena terima jika tawaran itu datang dari parti, boleh tolak sedangkan kamu ada jawatan dalam kerajaan.
“Kena faham, ada tawaran selepas itu ada penerimaan. Jika ada penerimaan dan beliau bersetuju, itu memang satu kesilapan, barulah orang boleh persalahkannya.
“Tetapi jika beliau pun tidak tahu, surat pun tak dapat, dia juga tidak menerima tawaran tersebut, bagaimana kita boleh menghukum dirinya, tidak adil buatnya,” katanya yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, di sini hari ini. – UTUSAN










