PETALING JAYA: Malaysia bakal berhadapan dengan masalah kekurangan penduduk sekiranya ideologi gaya hidup tanpa anak dinormalisasikan dalam masyarakat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pusat Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Zulfikar Ahmad berkata, situasi itu menyumbang kepada kekurangan tenaga muda dan memberi implikasi besar dalam kadar kelahiran Malaysia.
“Suatu hari nanti, Malaysia mungkin terpaksa membuka kewarganegaraan kepada orang luar jika trend ini menjadi amalan.
“Tidak dapat dinafikan sekiranya pasangan memilih untuk hidup tanpa anak disebabkan tekanan ekonomi tetapi jika mereka menggunakan alasan tidak ingin ada anak hanya disebabkan ingin lari dari tekanan dan hidup bebas, perkara itu perlu difikirkan semula,” katanya.
Beliau mengulas perubahan gaya hidup di peringkat global yang tidak mahu memiliki anak atau dalam istilah yang popular, child free.
Tulisan Prof. Madya di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) yang disiarkan dalam ruangan Rencana Utusan Malaysia kelmarin mendedahkan, sebuah laman komuniti Reddit dinamakan sebagai Childfree mengumpulkan kelompok yang tidak mahukan anak dianggotai 1.5 juta ahli.
Menurutnya, gaya hidup tanpa anak itu bermula di Barat seawal 1970-an.
Zulfikar berkata, gaya pemikiran tersebut boleh merencatkan pembangunan negara, kerana tidak dapat dinafikan, anak-anak merupakan aset generasi pada masa hadapan.
“Mereka inilah yang akan membentuk negara, menjadi doktor mahupun pendidik kalau child free ini diamalkan, siapa yang mahu membentuknya?,” katanya.
Dalam pada itu, bekas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Mohd, Noor berkata, dari sudut pandangan Islam, merancang kelahiran anak dalam konteks menjarakkan bagi tujuan munasabah adalah diharuskan.
“Contohnya untuk memelihara kesihatan ibu atau memberi tempoh masa yang mencukupi untuk mendidik anak-anak dan sebagainya, itu adalah diharuskan,” katanya.
Namun, kata beliau, sekiranya pasangan mencegah kelahiran secara kekal, ia adalah salah dan bercanggah dengan matlamat syariah iaitu memelihara keturunan manusia di bumi. – UTUSAN











