PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jika Malaysia bertindak memutuskan semua hubungan dengan syarikat milik Israel, ekonomi negara bakal terjejas.
Perdana Menteri berkata, ini kerana dikhuatiri tindakan sama boleh dilakukan ke atas semua syarikat berkaitan Israel yang beroperasi di luar negara.
“Baik, bagaimana syarikat (asing) yang ada operasi (ibu pejabat) di Amerika Syarikat (AS), Jerman, China, tapi ada kaitan dengan Israel,
“Tak ada upaya kita dalam keadaan sekarang membatalkan (hubungan itu) kerana ini akan menjejaskan ekonomi negara,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tun Abdul Aziz, di Petaling Jaya hari ini.
Anwar berkata demikian bagi menjelas bantahan penjualan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP), sebuah firma yang bakal diambil alih oleh Blackrock yang berpangkalan di AS yang didakwa mempunyai hubungan dengan Israel.
“Umat Islam khususnya rakyat Malaysia berpakat la. Kita dari segi kerajaan dan saya sendiri buat pendirian maksimum depan kuasa besar, jumpa pemimpin Hamas. Kita dah buat sedaya upaya kita.
“Saya percaya sebahagian yang menentang ada hujahnya dan ikhlas, tapi sebahagiannya nak tunggang politik. Jangan guna isu ini kerana isu ini harus persatukan kita,” katanya.
Sehubungan itu, perdana menteri berkata rundingan dengan GIP harus dilakukan terlebih dahulu dan pada hujung tahun Blackrock ambil alih GIP.
“Syarikat yang ada kepentingan Blackrock ada juga beroperasi di Kelantan, Selangor, Sarawak, seluruh negara dan di pasaran saham,” katanya.- UTUSAN










