SHAH ALAM: Reman kedua ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang mati dibunuh akan tamat Khamis ini dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, beliau tidak dapat memberikan apa-apa kenyataan berhubung kes terbabit kerana kes itu di bawah kendalian JSJ Bukit Aman.
“Reman akan tamat esok (Rabu). Jadi saya tidak dapat berkongsi apa-apa pada petang ini. Kedua-dua suspek tidak boleh sambung reman lagi. Tunggu Pengarah JSJ berikan perkembangan itu,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan ibu Zayn Rayyan dibawa ke lokasi kejadian di Apartmen Idaman, Damansara Damai bagi melakonkan semula situasi kejadian berkenaan.
Ibu mangsa berusia 28 tahun itu bersama beberapa anggota polis berada di lokasi selama dua jam sebelum Mohd. Shuhaily tiba di lokasi kejadian pukul 12.55 tengah hari.
Dalam pada itu, Hussein memaklumkan bahawa beliau tidak mengetahui sama ada kertas siasatan kes tersebut sudah dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya atau belum.
“Sama ada sudah lengkap atau belum lengkap (kertas siasatan), pihak Bukit Aman akan makluman nanti. Saya tidak maklumat yang lengkap untuk dikongsi tetapi benda itu (kertas siasatan) masih dalam proses,” ujarnya.
Katanya lagi, polis membawa ibu Zayn Rayyan ke lokasi kejadian adalah sebahagian tindakan sebelum kertas siasatan lengkap dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya. – UTUSAN










