Remaja, kanak-kanak maut keracunan makanan

Remaja, kanak-kanak maut keracunan makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan remaja 17 tahun maut didakwa berpunca daripada keracunan daripada makanan yang disediakan di sebuah sekolah di Gombak, dekat sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, polis  menerima laporan daripada keluarga kedua-dua mangsa berhubung kejadian itu semalam.

Beliau berkata, kes pertama membabitkan seorang remaja lelaki tempatan berusia 17 tahun.

Katanya, berdasarkan laporan, remaja berkenaan mengambil makanan yang dibawa pulang oleh ibunya selepas menghadiri program di sebuah sekolah.

Katanya, mangsa kemudian dilapor mengalami cirit-birit dan disahkan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 1.30 petang semalam.

“Bapa mangsa telah hubungi pihak MERS 999 untuk bantuan sebelum anaknya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi kes kedua, kata Noor Ariffin, mangsa ialah kanak-kanak perempuan berusia dua tahun. 

Katanya, bapa mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah telah membawa pulang makanan selepas selesai program di sekolah sama.

“Bapa mangsa ada memberi anaknya makan makanan itu. Kanak-kanak itu kemudian demam, muntah dan cirit birit pada Isnin sebelum dibawa ibunya ke Hospital Selayang dan disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata, kes dilklasifikaskani sebagai mati mengejut dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil  dengan menghubungi Ketua Polis Balai Gombak, Inspektor Heirme Che Mad di talian 014-2389151 atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor R Khalpna di talian 012-5018901.

Sementara itu, bapa remaja itu yang ingin dikenali sebagai Kamal berkata, isterinya membawa pulang bihun dan telur goreng selepas menghadiri satu program di sebuah sekolah agama di Sungai Cincin dekat sini, Sabtu lalu. 

Katanya, dia, isteri dan anak lelakinya makan telur tersebut sementara dua lagi anak perempuannya hanya makan bihun goreng.

“Arwah makan paling banyak telur itu anggaran tiga biji dan selang tidak lama kemudian, kami anak beranak berasa sakit perut sehingga ke hari ini.

“Bagaimanapun hari ini (semalam), saya keluar sebentar ke klinik dan menyangka anak lelaki tidak apa-apa namun sebaik sahaja pulang tengah hari tadi, terkejut anak sudah meninggal dunia.

“Saya difahamkan makanan itu disediakan pihak luar yang ditempah oleh penganjur program terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, Pengarah  Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, beliau mengesahkan menerima laporan berhubung keracunan makanan itu.

Menurutnya, sekolah rendah agama di Sungai Cincin terbabit menganjurkan program Amal Islami sebagai tuan rumah.

“Bagaimanapun tiada pelajar sekolah itu yang terbabit dengan kes keracunan.

“Seramai 33 guru yang juga urus setia terbabit dan dakwaan membabitkan kematian itu melibatkan pihak ketiga (orang luar),” katanya.

Tambahnya, JAIS masih menunggu laporan untuk mengesahkan kes kematian berkenaan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN