Ramasamy yakin PKR akan bertanding di PRK Sungai Bakap

Ramasamy yakin PKR akan bertanding di PRK Sungai Bakap

P. RAMASAMY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Bekas pemimpin DAP, Dr. P. Ramasamy percaya Pakatan Harapan (PH) akan meletakkan calon daripada PKR mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap tidak lama lagi.

Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) itu berkata, agak menarik untuk menyaksikan siapakah calon yang bakal diletakkan bertanding pada kerusi berkenaan ketika ini.

Katanya, ketika ini, dua nama yang disebut-sebut akan bertanding ialah calon PKR yang tewas sebelum ini iaitu Nurhidayah Che Rose serta bekas penyandang kerusi tersebut, Dr. Ammar Pritpal Abdullah.

“Setakat ini, PKR belum menamakan mana-mana calon di atas atau calon muka baharu yang akan bertanding. Tapi, apapun, saya yakin kerusi terbabit akan ditandingi oleh calon daripada PKR,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Dalam pada itu, Ramasamy yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang percaya, pengundi India akan menjadi penentu atau ‘king maker’ pada PRK Sungai Bakap nanti.

Menurut Ramasamy, sama seperti PRK Kuala Kubu Bharu (KKB) di Selangor, akan ada kejutan daripada pengundi pada PRK berkenaan.

Katanya, kejutan tersebut mungkin bukan datang daripada pengundi Cina kerana kekurangan pilihan yang ada ketika ini mungkin memaksa mereka menyokong calon PH (Pakatan Harapan).

“Jadi, sama seperti PRK KKB, saya percaya bahawa pengundi India akan muncul sebagai ‘king maker’ sekali lagi.

“Jika diteliti apa yang berlaku ketika PRN (Pilihan Raya Negeri) 2023, ada satu perubahan ketara yang berlaku dalam kalangan pengundi India yang sebelum ini merupakan pengundi DAP atau PKR.

“Penyingkiran pemimpin-pemimpin India daripada DAP antara penyebab berlakunya perubahan ini dan di negeri-negeri seperti Pulau Pinang dan Selangor, sokongan pengundi India kepada PH juga menurun sehingga 40 peratus apabila perubahan ini berlaku,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka bermesyuarat Khamis ini bagi menentukan hari penamaan calon dan pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap susulan kematian penyandang, Nor Zamri Latiff daripada Pas.

Pada PRN Pulau Pinang yang lalu, Nor Zamri yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) berjaya menewaskan Nurhidayah (PH) dengan majoriti 1,563 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×