NIBONG TEBAL : Pengarah Pilihan Raya PKR, Rafizi Ramli mencabar Perikatan Nasional (PN) untuk membentang prestasi mereka selama menjadi wakil rakyat di Sungai Bakap.
Rafizi berkata, hal ini demikian kerana, parti gabungan itu dilihat seolah cuba mengelak daripada bercakap mengenai perkara tersebut buat masa ini.
“Kita akui bahawa ada isu tempatan yang menjadi pertaruhan undi kepada calon, iaitu berkaitan bekalan air dan isu lain yang tak berapa dilaporkan iaitu bersabit keadaan jalan.
“Isu ini (jalan) agak besar kerana Sungai Bakap bersambung dengan jaringan lebuh raya. Dari segi kualiti,’jammed’ (kesesakan), keadaan di sini sebenarnya sangat penting kepada rakyat.
“Jadi, kalau kita tengok, sehingga sekarang, isu bersabit perkara setempat ini tidak disentuh oleh PN kerana mereka tidak yakin dengan prestasi setempat mereka sejak jadi ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) pada PRN (Pilihan Raya Negeri) yang lepas dan itu memang menjadi buah mulut pengundi di sini,” katanya.
Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR berkata demikian ketika sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PKR di Jalan Besar, Kampung Makau Suah, Sungai Bakap di sini, petang ini.
Mengulas lanjut, Rafizi turut mengkritik kempen pilihan raya PN yang disifatkan tidak mempunyai mesej, tidak bersepadu serta tidak teratur pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.
“Maka, sebab itu kita tengok, segala mesej yang cuba disampaikan itu caca-merba kerana terlalu memfokuskan kepada isu-isu nasional yang tidak begitu relevan kepada pengundi-pengundi di Sungai Bakap.
“Berdasarkan kepada culaan serta data-data yang diperolehi, Sungai Bakap dari segi fokus dan penilaian pengundinya adalah seimbang di antara isu-isu nasional dan isu-isu tempatan,” kata beliau.
Dalam perkembangan berasingan, Rafizi berkata, selepas mengharungi minggu pertama kempen PRK bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, jentera Perpaduan telah berjaya mengatasi beberapa kelemahan yang lalu dan kini berada pada tahap yang lebih baik.
Katanya, begitu juga dengan perjalanan calon mereka, Dr. Joohari Ariffin yang sekarang berjalan lebih lancar dan cepat berbanding kempen lawan.
“Dr. Joohari ini dalam sehari ada 25 hingga 30 program dan itu sesuatu yang tak boleh dilaksanakan kecuali dengan koordinasi (yang baik) daripada jentera kita (Perpaduan).
“Jadi, dalam minggu kedua (berkempen) ini sasaran dan fokus kami selain memperhebatkan kempen, kami juga perlu memastikan naratif kempen berjalan dengan baik dan sampai terutama kepada pengundi atas pagar kerana pada akhirnya, ia (undi) itu akan bergantung kepada pengundi-pengundi inilah,” ujarnya.-UTUSAN









