Projek Jalan Bukit Panchor mendahului jadual

Projek Jalan Bukit Panchor mendahului jadual

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Kemajuan pembinaan jalan menghubungkan Jalan Bukit Panchor ke laluan Persekutuan FT1 di sini sudah jauh mendahului iaitu 45 hari awal daripada jadual dan bakal siap sepenuhnya pada Februari depan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, laluan sepanjang 1.2 kilometer (km) yang menghubungkan Kawasan Perindustrian Bukit Panchor, Nibong Tebal dengan Jalan Negeri P146-Jalan Bukit Panchor itu telah dimulakan sejak 30 Mac 2022.

Katanya, projek yang menelan kos sebanyak RM11.26 juta itu juga telah siap sebanyak 74.65 peratus.

“Ketika ini, kenderaan terpaksa melalui taman perumahan dan Kampung Ladang Kerian bagi urusan perdagangan sekali gus timbul isu keselamatan masyarakat kerana kenderaan-kenderaan berat daripada perindustrian turut melalui taman perumahan.

“Jalan yang bakal siap ini berupaya menampung sehingga 1,000 kenderaan sehari dan dapat menghubungkan kawasan Sungai Kechil, Sungai Bakap, Taman Ilmu dan Universiti Sains Malaysia (USM) Transkrian ke pekan Nibong Tebal,” katanya selepas meninjau perkembangan projek jalan itu di sini, hari ini.

Tambah Ahmad, antara skop projek terbabit yang giat dilaksanakan meliputi pemasangan lampu isyarat, lampu jalan di persimpangan serta pemasangan perabot jalan, pengalihan utiliti seperti paip Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Gas Malaysia, kabel Telekom Malaysia (TM), Maxis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Menerusi projek sama, kos tambahan sebanyak RM5 juta bertujuan untuk pengambilan lebih lima lot tanah bagi pembinaan jalan sekali gus menjadikan kos keseluruhan berjumlah RM16.26 juta.

“Kawasan estet ini akan dibangunkan sebagai kawasan perindustrian yang menguntungkan rakyat sekeliling terutama Sungai Bakap,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN