KOTA MARUDU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) menyasarkan untuk bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang majoriti pengundinya daripada suku kaum Kadazandusun dan Murut (KDM).
Presidennya, Datuk Peter Anthony berkata, Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17) Sabah akan diadakan pada bila-bila masa jadi, PKDM harus memulakan langkah bagi menghadapi pilihan raya dalam keadaan yang kena bersedia.
Beliau berkata, bagi kerusi DUN di bawah Parlimen Kota Marudu, PKDM turut memutuskan untuk meletakkan calon di ketiga-tiga kerusi DUN di kawasan Parlimen berkenaan.
Pada masa ini, kerusi Parlimen Kota Marudu adalah milik Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda yang juga ADUN Bandau.
“Parti lain sudah mula bergerak, kita yang belum bergerak. Jadi, pada hari ini, saya ingin umumkan PKDM akan bertanding di semua kerusi DUN di kawasan Parlimen Kota Marudu dan kita juga akan bertanding di semua kerusi KDM di Sabah,” katanya semasa majlis Karamazan Kokotuan di Matunggong, semalam.
Dalam pada itu, ADUN Melalap itu juga menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi pengundi campuran seperti di DUN Pitas dan Pintasan.
Beliau berkata, ahli parti bermula di peringkat akar umbi perlu sama-sama memantapkan persediaan menghadapi PRN bagi memastikan kemenangan semua calon yang bertanding atas tiket PKDM.
Selepas PRN lalu, Peter mengumumkan keluar daripada Parti Warisan (Warsian) pada Disember 2021 dan seterusnya menubuhkan parti baharu iaitu PKDM pada Februari 2022.
Semasa kemelut politik, Langkah Kinabalu berlaku pada awal tahun lalu, PKDM, Warisan dan UMNO/Barisan Nasional (BN) bertindak ingin menjatuhkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). – UTUSAN










