PRK Sungai Bakap: PN banyak muslihat, perancangan?

PRK Sungai Bakap: PN banyak muslihat, perancangan?

cij
CIJ mengecam kejadian gangguan seksual yang berlaku terhadap wartawan wanita yang membuat liputan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Bakap baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) dilihat mempunyai banyak perancangan dan muslihat dalam menghangatkan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap pada 6 Julai ini.

Menurut penganalisis politik, Prof. Dr. Salawati Mat Basir, isu subsidi diesel yang dikatakan menyebabkan kos kenaikan harga barang dilihat akan dimainkan secara besar-besaran bagi mengalahkan calon Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun katanya, PN perlu berhati-hati dan membawa isu masyarakat secara berhemah dan tidak membuat serangan secara melulu sehingga memakan diri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, PN akan cari ke­salahan dan mempersoalkan segala tindakan yang dilakukan kerajaan sejak kebelakangan ini termasuklah isu subsidi diesel.

“Ini kerana rakyat sudah mula marah dengan beberapa tindakan kerajaan sebagaimana subsidi diesel ditamatkan dan hanya diberi RM200 yang tidak mampu menanggung kos tersebut.

“Dalam erti kata lain, isu kenaikan kos sara hidup memang akan dijadikan bahan utama kempen di PRK Sungai Bakap.

“Mereka mahukan kemena­ngan, jadi mereka akan menggu­nakan segala cara bagi meraih undi untuk memenangi PRK Sungai Bakap seperti menyerang latar belakang calon yang terjadi di PRK Kuala Kubu Bharu yang lepas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, pembangkang tidak ‘hilang taring’ dalam memperjuang isu rakyat dan menyemak pelaksanaan polisi kerajaan sebaliknya akan menggunakan kekuatan itu pada masa yang sesuai.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pandangan sesetengah pihak itu tidak betul sebaliknya pembangkang ketika ini melihat tidak ada keperluan me­nunjukkan taring kerana kerajaan sedang lemah.

Sehubungan itu, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad tidak menafikan PN bakal menggunakan isu subsidi diesel dan kos sara hidup sebagai bahan kempen dalam PRK Sungai Bakap.

Dalam pada itu, Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UITM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, pembangkang masih kekal relevan dan mereka adalah untuk memberikan maklumat serta menaikkan isu yang boleh membantu menjadi pengimbang tara melibatkan kepentingan masyarakat.

“Pembangkang masih kekal re­levan dan penting bagi demokrasi matang negara tetapi perlu membawa isu masyarakat secara berhemah.

“Pembangkang tidak perlu me­lakukan aktiviti serangan secara melulu, malah perlu memberikan desakan secara berinovatif kepada dasar kerajaan termasuk isu subsidi diesel,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×