PRK Sungai Bakap: Keputusan MCA turun berkempen dialu-alukan

PRK Sungai Bakap: Keputusan MCA turun berkempen dialu-alukan

ANTHONY Loke Siew Fook (kanan) ketika melawat reruai agensi kerajaan di 57th Asean Senior Transport Offical Meeting (STOM), di George Town, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan mengalu-alukan kehadiran MCA yang berkemungkinan turun membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, 6 Julai depan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan sama ada MCA akan turut berkempen bagi calon Kerajaan Perpaduan pada PRK berkenaan sebenarnya adalah hak parti tersebut.

“Adalah menjadi hak mereka (MCA) sama ada untuk turun berkempen atau tidak. Saya rasa, sebelum ini, mereka telah membuat keputusan bahawa mereka tidak akan berkempen untuk calon yang bukan dari Barisan Nasional (BN).

“Mungkin mereka telah mengubah fikiran. Jadi, kita alu-alukan (kempen untuk calon PKR di PRK Sungai Bakap),” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan 57th ASEAN Senior Transport Offical Meeting (STOM), di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, MCA berkemungkinan tidak menolak untuk membantu kempen calon Kerajaan Perpaduan pada PRK DUN Sungai Bakap, 6 Julai depan.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, ia berikutan MCA diperlukan BN bagi membantu kempen calon PH di Sungai Bakap.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai pandangan beberapa pakar yang memohon kerajaan menimbang cadangan melaksanakan Transit Aliran Bas (BRT) atau Transit Aliran Automasi (ART) berbanding Projek Transit Aliran Ringan (LRT), Anthony yang juga Menteri Pengangkutan berkata, Kerajaan Pusat telah membuat keputusan dan akan meneruskan dengan projek LRT di Pulau Pinang.

Katanya, setakat ini, kerajaan Pusat belum memuktamadkan spefisikasi mengenai projek yang dijangka siap pada 2030 itu.

“Kerajaan Pusat telah membuat keputusan untuk melaksanakan Projek LRT di Pulau Pinang dan kita akan teruskan pelaksanaan tersebut.

“Bagaimanapun, kita belum membuat keputusan mengenai spesifikasi projek, apabila kita muktamadkan (mengenai spesifikasi), kita akan umumkan nanti,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN