NIBONG TEBAL: “Setiap kali adanya pilihan raya, saya akan masuk (berniaga) sebab boleh dikatakan inilah lubuk rezeki buat peniaga.”
Demikian menurut seorang peniaga baju, Zaidi Ishak, 49, dari Kuala Lumpur.
Zaidi yang sudah berkampung di Sungai Bakap sejak seminggu lalu sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap 6 Julai ini berkata, hasil jualan ketika musim pilihan raya sememangnya mampu memberikan pulangan yang berlipat kali ganda sehingga mencecah RM250,000.
“Ketika Pilihan Raya Umum (PRU15) lalu, saya berada di Port Dickson dan rekod jualan baju ketika itu mencecah sehingga RM250,000 (hasil jualan) yang paling tinggi jika dibandingkan sebelum ini.
“Sementara itu, setakat hari ini (semalam) sahaja, baju yang sudah terjual adalah 500 helai. Diharapkan ada lagi rezeki untuk kami para peniaga di sini sepanjang hari ini sehinggalah tamat PRK,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di sini.
Seorang lagi peniaga, Mohd. Sudirman Mohd Shukri, 48, dan anaknya, Muhammad Danish Fakhrul Mohd Faidil, 15, berkata, mereka sanggup memandu sejauh lebih 100 kilometer dari Alor Setar, Kedah ke Sungai Bakap demi mencari rezeki sebagai penjual kacang dan air.
“Setiap kali adanya pilihan raya saya akan sampai walaupun jauh. Contohnya, ketika PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Kuala Selangor baru-baru ini kerana menganggap peluang rezeki ketika PRK lebih meriah.
“Boleh dikatakan, di mana ada PRK atau PRU (Pilihan Raya Umum) Insya Allah, kami akan sampai,” katanya.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat penyakit keradangan dalam perut.
Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal sebelum itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang bagi kerusi tersebut Ogos lalu selepas menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dari PKR dengan majoriti 1,563 undi. – UTUSAN










