PRK DUN Nenggiri: Bersatu akan letak calon sesuai

PRK DUN Nenggiri: Bersatu akan letak calon sesuai

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan meletakkan calon bersesuaian untuk bertanding di pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan pada 17 Ogos depan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya bersedia mengenal pasti dan memilih calon terbaik untuk mewakili parti bagi kerusi DUN tersebut.

Katanya, keputusan untuk meletakkan calon itu sudah dibuat sebelum ini memandangkan kerusi tersebut milik Bersatu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kesiapsiagaan kita setakat ini adalah dari segi menggerakkan jentera di peringkat bawah yang telah pun bermula.

“Jadi, apabila SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) mengumumkan tarikh untuk mengadakan PRK kerja-kerja lain, kita akan mula susun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni pengundi sempena membantu kempen calon Perikatan Nasional, Abidin Ismail di Unit Daerah Mengundi Puteri Gunung di Simpang Ampat di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berpandangan, pihaknya tidak boleh mengambil mudah PRK Nenggiri walaupun ia berlangsung di Kelantan.

“Nampaknya walaupun ia (PRK) di Kelantan dan sokongan yang lepas pun agak baik, kita juga tak boleh ambil mudah. Ini adalah satu ‘by-election’ (PRK) jadi mungkin pihak lain pun akan turun bekerja untuk memenangkan calon mereka. Tapi bagi kita, kita sudah bersedia. InsyaAllah,” katanya.

Terdahulu, SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri, Kelantan itu jatuh pada 17 Ogos depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 3 Ogos manakala undi awal dijadualkan pada 13 Ogos.

Sebelum ini, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan bermula 19 Jun lalu.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli DUN (ADUN) Bersatu mengenai keahlian ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang hilang daripada parti itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN