IPOH: Polis telah memberkas suami kepada wanita yang ditemukan mati dengan beberapa kesan tikaman di dada dalam kejadian di Kampung Simee, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, lelaki berusia 56 tahun itu ditangkap bersama sebatang besi yang dipercayai digunakan sebagai senjata untuk menikam isterinya.
“Sepasukan anggota ke lokasi kejadian setelah menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 9.26 pagi yang menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.
“Mangsa berusia 48 tahun itu ditemui terbaring di kawasan garaj rumahnya. Pemeriksaan mendapati terdapat tiga kesan tikaman di dada dan kecederaan di bahagian kepala,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian namun berdasarkan keterangan saksi yang juga anaknya, mangsa dan suspek kerap bergaduh.
“Suspek ditahan pada pukul 10 pagi di lokasi kejadian. Permohonan reman akan dibuat esok bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan S. Dasarathan di talian 012-5644484 bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN







