KUALA TERENGGANU: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung klip video seorang lelaki memandu kereta sambil memegang objek menyerupai sepucuk pistol yang tular di media sosial, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor, bagaimanapun menafikan kejadian di Jalan Sulan Mahmud itu bermotifkan penculikan seperti yang tular.
Beliau berkata, pihaknya mendapat maklumat kejadian itu yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 4 petang tadi dan telah menerima dua laporan polis daripada orang awam.
“Pihak polis sedang mengesan suspek dalam kejadian ini yang memandu sebuah kereta berwarna putih dan kejadian ini bukan kes penculikan seperti yang ditularkan di media sosial hari ini.
“Setakat ini, kami menerima dua laporan berhubung kejadian yang berkenaan dan siasatan terperinci sedang dijalankan.
“Orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat boleh datang ke balai berhampiran untuk membantu siasatan polis,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Terdahulu tular di Facebook sebuah video berdurasi 37 saat menunjukkan seorang lelaki yang memandu kereta berwarna putih sambil memegang objek menyerupai pistol.
Turut tular beberapa klip audio di aplikasi WhatsApp yang mengaitkan kejadian tersebut dengan kes penculikan. – UTUSAN










