GEORGE TOWN : Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan agar reka bentuk projek kereta kabel Bukit Bendera mempunyai kelainan dalam seni rekaannya di mana ia turut memaparkan aspek budaya masyarakat di Pulau Pinang.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, beliau juga mahu reka bentuk projek berkenaan memaparkan keindahan alam sekitar Bukit Bendera yang unik dan mempunyai sejarah bukan sahaja di Malaysia, namun di rantau ini.
Ini kerana, Anwar menjelaskan, dalam usaha mempromosikan Bukit Bendera dengan teknologi moden, semua pihak mesti memikirkan tentang soal alam sekitar serta pembangunan budaya di Pulau Pinang.

“Saya apabila berbicara soal pembangunan baharu, saya sangat terkesan dengan kata-kata Mark Twain yang menyebut tentang keperluan binaan bangunan yang mengambil kira aspek seni binanya di mana yang utama ialah soal budaya. Jangan gersang budaya.
“Bukit Bendera agak unik perancanganya dengan mengambil kira aspek tentang persekitaran, cuma saya tekankan sedikit tentang aspek budaya supaya ada keindahan, kelainan dalam seni bina itu di mana aspek budaya yang diserasikan dengan budaya Pulau Pinang.
“Saya bukan arkitek, tetapi Tan Sri (Ravindran Menon) boleh fikir untuk ubah suai sedikit supaya kita nampak keindahan Bukit Bendera yang unik dan bersejarah di Pulau Pinang, Malaysia dan rantau ini,” katanya dalam ucapan perasmian dan majlis pecah tanah projek kereta kabel Bukit Bendera di Taman Botani, di sini hari ini.
Projek kereta kabel Bukit Bendera yang diilhamkan oleh Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dengan kerjasama Kumpulan Hartasuma Sdn Bhd ini, dijangka dapat meningkatkan penghargaan para pengunjung terhadap keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian biodiversiti Bukit Bendera.
Selain itu, ia akan membantu mengurangkan kesesakan pelancong pada musim puncak dan menjadi laluan alternatif semasa kecemasan. Kerja-kerja pembinaan sistem kereta kabel ini dijangka siap pada tahun 2026.
Jajaran kereta kabel ini akan bermula dari stesen Taman Ekonomi yang sedia ada di Taman Botani Pulau Pinang dan berakhir di puncak Bukit Bendera, di belakang Balai Polis Bukit Bendera.
Laluan kereta kabel ini adalah sepanjang 2.73 kilometer dan akan dilengkapi dengan 50 gondola lapan tempat duduk, dengan masa perjalanan kurang dari 10 minit.
Menurut Perdana Menteri, beliau juga mahu Bukit Bendera kekal menjadi destinasi riadah untuk aktiviti pendakian bagi golongan muda.
“Saya juga mewakili sosok pemikiran lama, yang agak penting untuk generasi kita supaya ada ruang dan galakan kepada anak-anak muda terus menjadikan satu budaya riadah untuk naik (mendaki) melalui jalan-jalan lereng bukit (di Bukit Bendera),” katanya.-UTUSAN










