PM bakal umum berita baik esok - Fahmi

PM bakal umum berita baik esok – Fahmi

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membuat satu pengumuman `istimewa’ berkaitan  barangan makanan esok.

Menteri Komunikasi,  berkata, pengumuman bakal dibuat itu dicapai hasil kerjasama dan persefahaman antara pihak kerajaan dan sektor industri sebagai usaha membantu rakyat.

“Kita tunggu pengumuman Perdana Menteri esok (Ahad). Ia melibatkan beberapa makanan biasa yang kita makan setiap hari, jadi ada berita baik daripada Perdana Menteri, tidak lebih daripada itu.

“Ia menunjukkan bahawa apabila kita ada kerjasama yang baik dengan  sektor industri, pihak kerajaan jadi kita berupaya untuk buat pengumuman seperti yang akan diumumkan perdana menteri esok,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mydin Mart Pantai Dalam di sini hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi  yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menyampaikan sumbangan Aidiladha kepada penduduk di kawasan tersebut.

Ditanya secara spesifik mengenai pengumuman itu, Fahmi berkata, semua pihak perlu menunggu pemakluman istimewa itu esok.

Dalam pada itu,  Fahmi menghargai pembukaan Mydin Mart di Lembah Pantai yang menawarkan produk dan barangan segar dengan harga berpatutan.

Beliau turut memuji tindakan pihak pengurusan pasar raya itu kerana tidak menaikkan harga barang seperti yang dilakukan beberapa peniaga lain atas alasan penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Dr Ameer Ali Mydin jelaskan tadi, tidak perlu ada kenaikan harga barang kerana subsidi diesel bagi sektor logistik masih diteruskan dan mereka masih menerima subsidi diesel RM2.15 sen satu liter.

“Jadi saya tegaskan langkah penyasaran subsidi kerajaan adalah untuk membantut aktiviti penyeludupan dan laporan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menunjukkan berlaku perubahan dari segi pola jualan diesel yang cukup mendadak dan ini memberi keyakinan kita untuk meneruskan subsidi kepada kumpulan yang layak dan memerlukan adalah tepat,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN