BALIK PULAU: Draf pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) bagi mengatasi isu pendaftaran doktor perubatan dengan kelayakan kepakaran daripada program laluan selari (parallel pathway) sedang disemak oleh Jabatan Peguam Negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sesi libat urus juga akan diadakan dengan pihak berkepentingan termasuk Majlis Perubatan Malaysia (MMC), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
“Dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini, Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir) dan saya bersama-sama menyerahkan memorandum berkaitan isu ini.
“Terdapat 14 program luar negara dan 29 program sarjana (Master) perubatan dikendalikan sembilan universiti tempatan. Senarai program-program ini dikumpulkan selepas Kementerian Kesihatan berdepan pelbagai kontroversi, kini sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk pandangan dari aspek perundangan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Air Putih, di sini semalam.
Isu Laluan Selari menjadi tumpuan apabila Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta Universiti Teknologi MARA (UiTM) membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus bidang kardiotorasik, sama seperti institusi itu menerima pelajar antarabangsa.
Ia selepas MMA menolak permohonan empat pakar bedah kardiotorasik untuk disenaraikan dalam Daftar Pakar Kebangsaan, ekoran Fellowship of Royal College of Surgeons of Edinburgh in Cardiothoracic Surgery (FRCS Ed) yang diperoleh mereka, tidak diiktiraf.
Untuk rekod, UiTM merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan program Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotorasik.
Sementara itu, mengulas laporan Utusan Malaysia empat dewan bedah di bangunan baharu Pusat Jantung di Hospital Sultan Idris Shah itu didakwa gagal berfungsi kerana masalah teknikal, Dr. Dr.
Dzulkefly berkata, tiga daripadanya sudah beroperasi sepenuhnya semalam.
Katanya, pada hari pertama operasi, dua dewasa dan dua kanak-kanak selamat menjalani prosedur, diikuti tiga dewasa dan dua kanak-kanak pada hari kedua.
“Segala isu berkenaan suhu dan kelembapan telah dapat diatasi,” katanya.
Manakala, tambah beliau, dewan bedah keempat pula sedang dalam penyelarasan dan dijangka dapat beroperasi sepenuhnya dalam masa terdekat.
“Syabas saya ucapkan buat pasukan di Pusat Jantung, Hospital Sultan Idris Shah Serdang, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, warga Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kerja Raya lain yang bertungkus-lumus menjayakan operasi.
“Kecemerlangan perkhidmatan Kementerian Kesihatan bergantung kepada pasukan seperti anda,” katanya. – UTUSAN









