Peruntukan RM1 juta laksanakan projek bandar selamat - Utusan Malaysia

Peruntukan RM1 juta laksanakan projek bandar selamat

ALIAS Rameli (dua, kiri) dan Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalal (tengah) menyertai acara santai berbasikal sempena perasmian Program Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) 2024 di Marang, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk melaksanakan projek bandar selamat di negeri Terengganu pada tahun ini.

Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Dr. Alias Rameli berkata, peruntukan itu telah disalurkan kepada dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri Terengganu iaitu Majlis Daerah Besut dan Majlis Daerah Marang.

“Setiap PBT itu menerima peruntukan sebanyak RM500,000 untuk mempertingkatkan kemudahan dan ciri-ciri bandar selamat di kawasan pentadbiran mereka.

“Ia akan memudahkan rakyat untuk mendapatkan akses kepada kemudahan kesihatan yang baik, pendidikan, alam sekitar yang bersih, tempat tinggal selamat, kawasan beriadah dan persekitaran kerja yang selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Program Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) 2024 di Pantai Pulau Kekabu, di sini, hari ini.

Program tersebut dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalal.

Mengulas lanjut, Alias memberitahu, pada tahun ini, peruntukan sebanyak RM300,000 telah disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk melaksanakan program ANMS di bandar-bandar terpilih di Malaysia.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM105,000 disediakan khusus untuk program kita pada hari ini bagi memastikan matlamat Agenda Nasional Malaysia Sihat tercapai khususnya di bandar Marang,” katanya.

Tambahnya, Marang adalah antara empat buah bandar paling bahagia di Terengganu dengan skor sebanyak 87.27 peratus berdasarkan Indeks Kebahagiaan Tahun 2023 yang dinilai melalui Program Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar Luar Bandar (MURNINets).

“Pencapaian ini telah dijadikan salah satu kriteria pemilihan Bandar Marang sebagai sebuah bandar sihat di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN