Perkeso Terengganu sasar 12,000 orang bekerja sendiri daftar SKSPS - Utusan Malaysia

Perkeso Terengganu sasar 12,000 orang bekerja sendiri daftar SKSPS

FARIHAH Che Husin (dua, kanan) memberi penerangan kepada para pengamal media pada majlis taklimat 'Perlindungan Perkeso kepada Pengamal Media' peringkat negeri Terengganu di Wisma PERKESO, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRYY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu menyasarkan seramai 12,000 orang bekerja sendiri (OBS) di negeri itu mendaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) untuk tahun ini.

Pengarah Perkeso Negeri Terengganu, Farihah Che Husin berkata, setakat ini, seramai 6,000 OBS dari 20 sektor telah mendaftar dengan skim tersebut.

Menurutnya, skim tersebut juga melindungi untuk OBS yang bekerja dalam sektor kesenian termasuk wartawan, jurufoto dan jurukamera yang bertugas secara sambilan.

“Hari ini, satu taklimat khas diadakan untuk memberi penerangan secara terperinci kepada pengamal media mengenai skim yang disediakan kerajaan untuk OBS.

“Alhamdulillah, semakin ramai yang menyedari manfaat skim yang disediakan Perkeso ini dan telah pun mendapat perlindungan sewajarnya sepanjang mereka bekerja di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat ‘Perlindungan Perkeso Kepada Pengamal Media’ peringkat negeri Terengganu yang dihadiri kira-kira 30 petugas media di sini hari ini.

Selain itu, Farihah berkata, Perkeso Terengganu juga menyasarkan seramai 5,600 suri rumah untuk mendaftar sebagai pencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di seluruh negeri pada tahun ini.

Tambahnya, setakat ini seramai 300 golongan suri rumah sudah mencarum dalam skim tersebut bermula awal Januari lalu.

“Kita sudah membayar lebih RM100,000 kepada suri rumah yang mendapat bencana termasuk kemalangan ketika berada di rumah seperti terkena minyak dan air panas.

“Ada juga suri rumah yang mendapat pampasan kerana ditimpa kemalangan di luar rumah ketika membeli barangan keperluan dapur serta menguruskan anak-anak bagi urusan persekolahan.

“Itu sebahagian manfaat yang bakal diperolehi pencarum melalui skim ini dan banyak lagi faedah yang disediakan untuk suri rumah dan waris,” katanya.

SKSSR yang mula dilaksanakan pada 1 Disember 2022 menawarkan faedah di bawah Perlindungan Bencana Domestik dan Perlindungan Keilatan seperti Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Keuzuran, Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat.

Skim perlindungan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838) ini terbuka kepada wanita warga tempatan dan pemastautin tetap berusia kurang 55 tahun dan menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau separuh masa, berkahwin atau bujang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN