Perkeso agih khairat kematian, pencen penakat kepada keluarga bekas jurugambar

Perkeso agih khairat kematian, pencen penakat kepada keluarga bekas jurugambar

SUBHAN Kamal (empat dari kiri) menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) Perkeso kepada balu bekas jurugambar, Azlimi (dua dari kanan) di Putrajaya. - UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang penjawat awam langsung tidak menyangka Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) masih melindungi aspek kebajikan dia dan anak-anak walaupun arwah suaminya bukan lagi pencarum aktif agensi itu.

Azlimi Ayub@Abdullah, 43, yang juga seorang jururawat adalah balu kepada arwah bekas jurugambar New Straits Times Press (NSTP), Ahmad Irham Mohd Noor, 43, yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman Rabu lalu.

Azlimi berkata, dia akui terkejut apabila dimaklumkan layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM3,000 dan pencen penakat di bawah Skim Keilatan Perkeso berjumlah RM2,429.33 setiap bulan.

“Arwah suami sebelum ini berkhidmat sebagai jurugambar di NSTP selama 20 tahun sebelum meninggalkan kerjaya pada 2020 akibat pengecilan operasi syarikat.

“Saya ucap terima kasih kepada Perkeso atas sumbangan diberikan ini. Hari ini, baru saya tahu Perkeso tetap memberi kemudahan dan faedah kepada waris biarpun suami tidak lagi aktif mencarum.

“Bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban saya sekeluarga termasuk dua anak masing-masing berusia 14 dan 18 tahun yang masih bersekolah,” katanya.

Majlis penyerahan sumbangan FPM dan pencen penakat kepada ahli keluarga arwah disempurnakan Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subhan Kamal di kediaman arwah, di Presint 17, hari ini.

Subhan berkata, ahli keluarga arwah layak menerima kemudahan itu memandangkan arwah adalah pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) selama 20 tahun sejak tahun 2000.

Menurutnya, hasil penelitian pihaknya, balu serta dua anak arwah layak menerima dua faedah itu dengan FPM dibayar sekali gus manakala, pencen penakat pula dibayar setiap bulan terus kepada akaun.

“Dua anak arwah layak menerima pencen penakat sehingga usia 21 tahun jika belum berkahwin dan boleh dilanjutkan sekiranya menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama. Manakala, balu arwah pula menikmati pencen penakat sehingga akhir hayat.

“Malah, waris keluarga arwah adalah antara kumpulan pertama menerima FPM berjumlah RM3,000 berbanding RM2,000 sebelum ini. Kadar baharu FPM itu dinaikkan kepada RM3,000 bermula 1 Jun lalu,” katanya.

Katanya, beliau secara peribadi mengenali arwah, malah arwah kerap membuat liputan berita ketika beliau berada dalam pimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Subhan berkata, beliau mengingatkan semua majikan supaya segera mendaftar dan mencarum Perkeso bagi manfaat dan keilatan pekerja masing-masing sekiranya ditimpa apa-apa kemalangan dan kematian.

Jelasnya lagi, majikan diberi tempoh sehingga 30 Jun ini bagi mendaftar dan mencarum bagi pekerja mereka dan selepas tempoh itu tamat, tindakan undang-undang akan dikuatkuasakan jika gagal berbuat demikian.

“Majikan yang gagal mendaftar dan membayar caruman Perkeso boleh dikompaun sehingga RM5,000 mengikut kesalahan atau boleh dikenakan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) pada kadar enam peratus setahun atas setiap hari caruman lewat dibayar serta dipenjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika didapati bersalah di mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN