RANTAU PANJANG: Penyasaran subsidi diesel bermula kelmarin membuatkan penyeludup bahan bakar itu berehat daripada melakukan aktiviti penyelewengan ke negara jiran.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penyeludup yang mahu dikenali sebagai Mad, 42, berkata, langkah itu menyaksikan permintaan terhadap bahan bakar yang diseludup tersebut menurun.
Menurutnya, hal ini kerana diesel seludup hampir setara dengan harga yang dijual di negara jiran.
“Buat masa ini tauke-tauke minyak ‘pening’ kepala memikir perkara tersebut. Sebelum penyasaran subsidi diesel tauke akan mendapat untung berlipat kali ganda.
“Namun, sejak semalam pendapatan mulai menyusut kerana untung makin mengecil. Lagipun harga diesel akan mengikut pasaran semasa dan tidak lagi terikat seperti sebelum ini iaitu RM2.15 seliter,” katanya.
Seorang lagi penyeludup yang mahu dikenali sebagai Sen, 50, memberitahu, dia tidak menolak kemungkinan penyelewengan petrol akan meningkat selepas ini.
Katanya, hal ini kerana kerajaan masih lagi memberikan subsidi untuk petrol walaupun harga pasaran sebenarnya lebih tinggi.
“Bagaimanapun, permintaan diesel sebenarnya lebih tinggi berbanding petrol kerana penduduk Thailand menggunakan trak pikup.
“Apabila ada permintaan, jadi kami sedia memenuhinya,” ujarnya. – UTUSAN










