KUALA TERENGGANU: Seorang penolong pegawai tadbir kanan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas 24 tuduhan salah guna kuasa untuk menerima suapan berjumlah RM24,267, dua tahun lalu.
Tertuduh, Ali Embong, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman di sini, hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai seorang pegawai badan awam dan pegawai kenderaan di sebuah jabatan kerajaan didakwa telah menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan.
Tertuduh telah mengesyorkan borang servis, pembaikian dan mendapatkan bekalan untuk kenderaan jabatan kepada sebuah syarikat bagi perolehan penyelenggaraan bernilai RM260 sehingga RM2,890.
Perbuatan itu mempunyai kepentingan kepada tertuduh kerana pemilik syarikat berkenaan adalah isterinya.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di daerah ini antara 30 Oktober sehingga 14 Disember 2022.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan, melapor diri di Pejabat SPRM terdekat setiap bulan dan menyerahkan passport kepada mahkamah.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula dan pengurusan kes.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Aznika Mohd. Anas manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Ain Mohd. Rani. – UTUSAN










