PETALING JAYA: Pemimpin pembangkang memfailkan usul tergempar ke Dewan Rakyat bagi menggesa perbahasan segera mengenai keputusan kerajaan untuk menjual saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada sebuah syarikat berkaitan Israel.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, usul tersebut merupakan perkara tertentu kerana syarikat BlackRock Inc. terlibat dalam membiayai pihak Israel yang melakukan tindakan genosid ke atas rakyat Palestin terutama di sempadan Gaza.
Menurut beliau, perkara tersebut bertentangan dengan pendirian kerajaan Malaysia yang menentang dan mengecam tindakan Israel pimpinan rejim Zionis.
“Usul ini berkehendaklah disegerakan kerana semakin lama keputusan ini ditangguh, semakin besar tanggungjawab keterlibatan kerajaan Malaysia dalam menyokong aktiviti tidak berperikemanusiaan Israel. Setiap saat diberikan umpama menyokong aktiviti genosid,” katanya dalam surat tersebut.
Usul tergempar itu dikemukakan pada 18 Jun, di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2), dan diterima oleh pejabat speaker Dewan Rakyat pada 21 Jun.
Pada Mei lalu, media tempatan melaporkan, Gateway Development Alliance dan pemegang sahamnya mengumumkan tawaran sukarela prasyarat bagi mengambil alih semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki pada harga tawaran sebanyak RM11 sesaham.
Konsortium tersebut diterajui Khazanah Nasional Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Berhad (UEMG) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), serta dianggotai anak syarikat milik penuh Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP).
Bagaimanapun, isu berhubung pemilikan saham membabitkan syarikat berkaitan Zionis mula timbul kerana GIP sedang dalam proses diambil alih oleh sebuah firma pelaburan gergasi Blackrock yang didakwa pro-Israel.
Malah, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut mempersoal tindakan kerajaan menjual 30 peratus saham MAHB jika syarikat pengendali lapangan terbang itu mencatatkan keuntungan.
Menurut beliau, MAHB mencatatkan keuntungan sebanyak RM543 juta pada tahun lalu.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata, usul tersebut turut melibatan kepentingan ramai memandangkan majoriti rakyat Malaysia mempunyai pendirian jelas iaitun mengutuk dan mengecam tindakan genosid Israel ke atas Palestin.
“Serta penglibatan secara langsung dan tidak langsung terhadap aktiviti ini melalui sokongan diplomatik, kewangan dan apa jua cara adalah tanda peranan bersubahat dengan tindakan terkutuk ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, usul sama dihantar di bawah Peraturan Mesyuarat 27(1) dan 27(3) pada awal Jun lalu sebagai usul persendirian yang dijadikan sebahagian daripada aturan urusan mesyuarat bagi pertimbangan untuk dibahaskan.
“Perikatan Nasional mengambil pendirian tegas untuk memastikan keputusan penjualan ini dibatalkan bukan sahaja atas kepentingan kedaulatan negara, tetapi juga sebagai mesej jelas pendirian majoriti rakyat Malaysia menolak tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis ke atas rakyat Palestin,” katanya. – UTUSAN










