IPOH: Gara-gara mahukan pulangan lumayan, seorang peniaga kerugian RM1.2 juta setelah terpedaya dengan pelaburan perniagaan barang-barang lusuh yang disertainya dua tahun lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, penipuan itu bermula selepas lelaki berusia 48 tahun itu berkenalan dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai ejen pelaburan.
Katanya, suspek menawarkan kepada mangsa pelaburan peniagaan barangan lusuh yang memberikan keuntungan bulanan empat peratus daripada modal yang dilaburkan.
“Suspek juga memberi jaminan dalam tempoh 18 bulan untuk mangsa mendapatkan semula pulangan modal yang dikeluarkan.
“Mangsa yang terpedaya dengan tawaran tersebut telah memberikan tiga keping cek bernilai RM1.2 juta pada 6 Ogos 2022 untuk menyertai pelaburan berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa hanya menyedari ditipu selepas dia berjumpa suspek pada Februari lalu di mana lelaki itu memberikan pelbagai alasan ketika ditanya mengenai pelaburan berkenaan.
“Mangsa kemudian membuat laporan polis semalam di Ipoh dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujar beliau. – UTUSAN











