Penggabungan MAVCOM-CAAM tiada implikasi kewangan

Penggabungan MAVCOM-CAAM tiada implikasi kewangan

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) menjelaskan, penggabungan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) kelak tidak akan membabitkan implikasi kewangan.

Menterinya, Anthony Loke berkata, penggabungan itu akan membabitkan pembubaran MAVCOM sebelum fungsinya dipindahkan kepada CAAM di bawah satu entiti.

Beliau berkata, kakitangan MAVCOM pula tidak akan diberhentikan sebaliknya mereka diserap masuk dalam CAAM.

“Penggabungan itu dijangka berlaku sepenuhnya tahun depan. Bulan bila dan tarikh bila akan diumumkan kelak. Kita jangka ia akan mengambil masa.

“Saya tidak mahu dedahkan jumlah kakitangan yang terbabit dalam penggabungan itu buat masa ini cuma akan ada perjawatan baharu diwujudkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, dua Rang Undang-Undang (RUU) akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada bulan ini bagi tujuan penggabungan itu.

Loke berkata, Jemaah Menteri pada 5 Jun lalu bersetuju membentangkan RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 dan RUU Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan).

Menurutnya, keputusan itu dibuat susulan dengan keputusan Jemaah Menteri secara prinsip pada 11 Disember 2019 mengenai pembubaran MAVCOM sebelum fungsinya dipindahkan kepada CAAM.

“Penggabungan ini bertujuan mengurangkan kerenah birokrasi dan mempertingkatkan keberkesanan serta kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan penerbangan awam terutamanya dalam perkhidmatan pelesenan.

“Dengan penggabungan MAVCOM dan CAAM kelak, tiada lagi keperluan untuk mendapat kelulusan berasingan daripada dua agensi sebaliknya, satu entiti kerajaan akan memproses permohonan kelulusan teknikal dan pengeluaran lesen,” katanya.

Jelasnya lagi, entiti tunggal seperti itu turut diguna pakai di beberapa buah negara yang mengendali sektor pengangkutan udara utama dunia seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Singapura dan China.

Loke berkata, pembaharuan ini akan dapat mengoptimumkan penggunaan sumber manusia dan kewangan sedia ada termasuk mewujudkan kumpulan pakar ekonomi dan teknikal di bawah suatu entiti.

MAVCOM ditubuhkan untuk mengawal selia perkara ekonomi yang berhubungan dengan industri penerbangan awam di Malaysia serta mengadakan peruntukan bagi fungsi dan peraturan dalam perkara yang berkaitan.

CAAM pula bertanggungjawab dalam pengawalseliaan teknikal penerbangan awam negara selaras dengan prosedur teknikal dan keselamatan yang ditetapkan oleh ICAO. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN