KUALA LUMPUR: Seorang pengasuh dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak daripada dua pertuduhan menganiaya dua beradik lelaki bawah umur yang diasuhnya sehingga mengalami kecederaan fizikal, dua tahun lalu.
Hakim Ainul Shahrin Mohamad memutuskan demikian terhadap Mariyani Harun, tanpa memanggilnya membela diri pada akhir kes pendakwaan.
Menurut kedua-dua pertuduhan, wanita itu selaku penjaga kepada kanak-kanak berkenaan, didakwa melakukan penganiayaan terhadap dua beradik itu sehingga mengalami kecederaan fizikal.
Ketika kejadian didakwa berlaku, masing-masing berusia lima tahun dan setahun lapan bulan manakala perbuatan didakwa dilakukan di antara bulan Mei 2021 dan 11 Februari 2022 di sebuah rumah di Bandar Lahat, Ipoh, Perak.
Pertuduhan dikenakan mengikut Seksyen 31(1(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Naratif pendakwaan menyatakan, pada 11 Februari 2022, ketika bapa bayi berkenaan memandikan anaknya kira-kira pukul 8.30 malam, mangsa menjerit kesakitan dan selepas diperiksa, lelaki itu menemukan kesan luka bergaris pada punggung mangsa.
Pihak pendakwaan turut menyatakan, kesan tersebut tidak kelihatan ketika ibu mangsa menghantar kedua-duanya ke rumah pengasuh berkenaan pada hari tersebut.
Keterangan kes juga menunjukkan ibu kanak-kanak itu menyedari sesuatu yang tidak kena sejak November 2021 apabila mangsa kerap `buat perangai’ ketika dihantar ke rumah pengasuhnya.
Kes pendakwana juga menyebut, sekitar Oktober dan November 2021, ibunya melihat banyak kesan calar pada tubuh kedua-dua anaknya dan apabila ditanya pengasuh berkenaan memberi pelbagai alasan atau mengaku tidak mengetahui bagaimana ia berlaku.
Keterangan kes menunjukkan, kedua-dua kanak-kanak itu tidak dijaga secara eksklusif oleh Mariyani kerana tiga individu lain iaitu suaminya, kakak tertuduh serta anak saudara wanita itu turut mendiami rumah berkenaan.
Ainul Shahrin berpendapat, penghuni-penghuni lain dalam rumah itu tidak dipanggil memberi keterangan sama ada mereka pernah menyaksikan pengasuh berkenaan mendatangkan kecederaan terhadap kedua-dua mangsa.
Beliau turut berpuas hati, dalam tempoh dua beradik itu dijemput dari rumah pengasuh sehingga salah seorangnya dimandi bapa kira-kira pukul 8.30 malam, 11 Februari 2022, mereka tidak mengadu kesakitan atau menangis.
Sehubungan itu, tidak boleh dianggap bahawa kesan kelaran pada punggung kanak-kanak itu yang dikesan bapa mangsa pada hari tersebut, adalah akibat perlakuan pengasuhnya di rumah berkenaan.
Ujar Ainul Shahrin, laporan perubatan kanak-kanak berusia lima tahun itu menunjukkan terdapat kesan lebam pada badannya manakala laporan perubatan adiknya mendapati luka berganda pada kulit, kesan koyakan dan melecet pada badannya.
Ujar beliau, meskipun gambar dan video kesan luka pada tubuh kanak-kanak berusia setahun lapan bulan itu dikemukakan di mahkamah, kedua-dua rakaman itu tidak ditandakan sebagai eksibit ketika perbicaraan.
“Oleh kerana tiada bukti bahawa tertuduh yang menyebabkan kecederaan kepada kedua-dua kanak-kanak itu, mahkamah ini berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya,” ujar Ainul Shahrin dalam alasan penghakiman bertarikh 14 Jun lalu yang diperolehi pihak media dari laman web mahkamah, hari ini. – UTUSAN







