Pendaratan ikan baja berisiko terhadap kelestarian sumber ikan - Utusan Malaysia

Pendaratan ikan baja berisiko terhadap kelestarian sumber ikan

PENDARATAN ikan baja dan matang yang tidak diasingkan akan memberi kesan terhadap stok perikanan negara pada masa hadapan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Stok perikanan negara akan terkesan dan ketirisan sumber boleh berlaku sekiranya corak pendaratan yang tidak mengasingkan tangkapan ikan baja dan matang ketika ini terus berlarutan.

Pensyarah Kanan Fakulti Perikanan dan Sains Makanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Mohd. Fazrul Hisam Abd. Aziz berkata, mengikut data perangkaan perikanan, pada tahun 2021, sebanyak 229,722 tan metrik ikan baja telah didaratkan.

Menurutnya, jumlah itu terus meningkat kepada 242,069 tan metrik ikan baja pada tahun 2022.

“Sekiranya corak pendaratan ini terus berlaku, ia amat berisiko terhadap kelestarian sumber perikanan negara.

“Oleh itu, satu langkah penyelesaian perlu diambil untuk mengatasinya dengan menterjemahkan hasil penyelidikan dan inovasi kepada komuniti dan pemegang taruh yang berkaitan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya, pusat pemindahan ilmu, jaringan industri dan masyarakat (PIJIM) UMT dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) telah memberi dana yang memfokuskan inovasi alat peranti pengumpulan perikanan (FDA) dan alatan perikanan bagi membantu melestarikan sumber perikanan.

Beliau berkata, program itu bersifat serampang dua mata dari sudut sains dan membantu para pemegang taruh utama iaitu nelayan pesisir pantai.

“Namun, setiap inovasi harus dipantau dari masa ke masa bagi melihat keberkesanannya.

“Sedikit pengubahsuaian mungkin akan memberi impak dan kesan yang berbeza kepada stok perikanan negara. Untuk menghasilkan inovasi yang baik juga, pemantauan saintifik dan sosial amat penting.

“Contohnya untuk melihat keberkesanan alatan perikanan, saiz ikan harus di kaitkan dengan bukaan mata jaring manakala untuk FDA, bilangan ikan dan stok kepadatan boleh dipantau dengan menggunakan penduga gema saintifik,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kajian yang berterusan dan gandingan bahu di antara pemegang taruh utama seperti, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Agensi Penguasaan Maritim Malaysia, penggubal polisi, nelayan, pemberi dana dan penyelidik amat penting.

“Kerjasama ini juga takkan terhasil tanpa gandingan daripada DOF dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang merupakan nadi dalam menguruskan stok perikanan negara dengan lebih dekat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN