KUALA LUMPUR: Kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak di sempadan Malaysia – Singapura dijangka memakan masa sehingga Sabtu depan berdasarkan keadaan cuaca di perairan tersebut.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, antara kawasan pantai yang terlibat adalah Pantai Sungai Rengit, Pantai Teluk Ramunia dan Pulau Cik Kamat.
Bagaimanapun, menurut beliau, kerja-kerja pengumpulan sisa sampah berminyak sudah mencapai 95 peratus setakat pukul 6 petang semalam.
“Fasa pertama pembersihan adalah pengumpulan sisa sampah berminyak yang sudah mencapai 95 peratus, fasa kedua penyemburan kawasan berbatu dan pembersihan batu kerikil sudah mencapai 20 peratus siap.
“Status pembersihan di kawasan terlibat Pantai Sungai Rengit, Jeti Nelayan Sungai Rengit, Kampung Nelayan Sungai Rengit dan Balai Polis Sungai Rengit dan Pantai Teluk Ramunia sudah pun bersih namun masih dalam pemantauan.
“Selain itu, kawasan bakau dan berbatu di belakang Sekolah Kebangsaan Sungai Rengit sudah 30 peratus dibersihkan, kawasam berbatu di belakang Balai Polis Sungai Rengit belum dibersihkan,” kata beliau selepas Karnival Alam Kita di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, hari ini.
Jumaat lalu, pelanggaran kapal di Terminal Pasir Panjang, Singapura mengakibatkan tumpahan minyak di sekitar perairan Malaysia – Singapura yang mencemarkan kira-kira satu kilometer (km) garis pantai Sungai Rengit dan Teluk Ramunia, Pengerang, Kota Tinggi.
Pelanggaran tersebut membabitkan kapal dari Belanda, Vox Maxima yang dilaporkan melanggar kapal tangki minyak dari Singapura, Marine Honor di Terminal Pasir Panjang.
Nik Nazmi berkata, Pulau Cik Kamat adalah lokasi terbaharu yang turut terjejas akibat tumpahan minyak tersebut dan maklumat berkenaan sudah dimaklumkan kepada kontraktor pembersihan.
“Kerja-kerja pembersihan akan dibuat setelah penilaian keadaan selesai. APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) telah pun menggerakkan asetnya hari ini untuk memantau perairan Pengerang hingga ke Pangkalan Maritim Abu Bakar (ABMB).
“Hasil pemantauan mendapati tiada tompokan minyak dikesan,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan terus bekerjasama dengan seluruh agensi berkaitan dalam memastikan pelaksanaan kerja dan operasi pembersihan dapat dilaksanakan dengan berkesan.- UTUSAN










