Pelajar OKU tajaan kerajaan negeri Pahang sambung pengajian di UniPSAS

Pelajar OKU tajaan kerajaan negeri Pahang sambung pengajian di UniPSAS

MOHD. ZAWAWI Zainal Abidin (duduk, dua dari) hadir menyampaikan surat tawaran pengajian kepada Muhammad Adib Nadhir Mohd. Zaharizan (tengah) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chengal Lempong, Kuantan, hari ini. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD. WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: “Walaupun diri tidak sama macam orang lain, berharap juga orang macam saya dapat terus mengejar cita-cita,” katanya.

Demikian, harapan seorang pelajar orang kelainan upaya (OKU) fizikal Muhammad Adib Nadhir Mohd Zaharizan, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chengal Lempong, dekat sini.

Muhammad Adib memperoleh keputusan 3A 5B dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini sekali gus ditawarkan Program Asasi Sains Kemanusian di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS).

Menurutnya, memang menyimpan hasrat untuk menyambung pelajaran hingga ke peringkat tertinggi.

“Tidak pernah terfikir akan dapat tawaran sambung belajar seperti ini sebab saya memang hendak sambung belajar.

“Sebolehnya saya tidak mahu duduk sahaja di rumah tanpa berbuat apa-apa, kerana itu saya memang berazam untuk memperoleh kecemerlangan,” katanya ketika ditemui di SMK Chengal Lempong, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Adib yang turut bercita-cita menjadi seorang ahli perniagaan berkata, kejayaannya itu adalah hasil dorongan dan bantuan daripada guru-guru serta ibu bapa.

Jelasnya, dia bersyukur dengan pencapaian diperolehnya itu dan berharap lebih ramai golongan pelajar OKU fizikal sepertinya mampu untuk meraih kejayaan.

“Susulan kejayaan saya dalam SPM lepas, sungguh tidak sangka mendapat tawaran dan peluang daripada UniPSAS.

“Alhamdulillah… mungkin ini rezeki memandangkan sebelum ini saya menolak tawaran daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu.

“Saya terpaksa melupakan hasrat untuk ke UiTM kerana pergerakan saya terbatas dan memerlukan bantuan ibu bapa, tetapi kini tidak perlu risau lagi sebab UniPSAS lebih dekat dengan rumah kami,” katanya yang menghidap ‘Spinal Muscular Altrophy‘ (SMA) Jenis 2 sejak lahir.

Sementara itu, Naib Canselor UnIPSAS, Datuk Dr. Mohd. Zawavi Zainal Abidin berkata, kejayaan anak kedua daripada tiga beradik itu merupakan satu petanda bahawa semua orang boleh mencipta kejayaan cemerlang di negara ini.

Katanya, dengan itu, menjadi satu tanggungjawab yang besar buat UnIPSAS untuk memastikan pihaknya mampu menawarkan program pengajian bukan sahaja kepada mereka yang normal malah juga golongan berkeperluan untuk mencipta kejayaan seperti Muhammad Adib.

“Selepas tamat program asasi, Muhammad Adib seterusnya akan ditawarkan program Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) dan dalam masa yang sama memperoleh sijil profesional dalam jurusan tersebut.

“Pengajian Muhammad Adib di UniPSAS pula akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri Pahang,” katanya yang hadir menyerahkan surat tawaran pengajian di UniPSAS kepada pelajar bertuah itu yang bakal melanjutkan pengajian pada Julai depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN