Pelajar cemerlang SPM sambung pengajian ikut minat

Pelajar cemerlang SPM sambung pengajian ikut minat

PENGARAH Pendidikan Kedah, Ismail Othman beramah mesra dengan pelajar cemerlang pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan SPM Negeri Kedah di Alor Setar semalam. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Meskipun negara sedang menuju perkembangan teknologi baharu iaitu kecerdasan buatan (AI), rata-rata lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masih berminat melanjutkan pengajian dalam bidang sedia ada.

Salah seorang pelajar cemerlang di negeri ini, Y. Harchalar, 18, mengakui, dia berhasrat meneruskan pengajian dalam bidang perubatan bagi memenuhi cita-cita menjadi doktor.

“Ilmu berkaitan AI memang diperlukan tetapi untuk meletakannya sebagai keutamaan dan kekal agak mustahil kerana kita lihat Amerika Syarikat kini pun sudah menuju kepada quantum computing selepas AI.

“Jadi, AI bukan segalanya kerana teknologi sering berubah-ubah tetapi dalam perubatan seorang doktor tetap diperlukan seiring perkembangan teknologi terutama pembedahan yang masih memerlukan pakar bedah.

“Saya juga ingin memenuhi keperluan negara kita yang masih kekurangan doktor pakar di hospital-hospital kerana cara itu juga saya dapat berkhidmat kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM Kedah di sini, semalam.

Utusan Malaysia melaporkan, pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Nuradli Ridzwan Shah berkata, walaupun negara sedang menuju perkembangan teknologi baharu iaitu AI, pelajar tetap diberi pilihan mengikuti bidang diminati.

Beliau berkata, lepasan SPM disaran meneruskan pengajian dengan memilih bidang mengikut minat masing-masing supaya tidak memberi kesan kepada diri pada masa akan datang.

Sementara itu, Mudassir Mirza Shahid Mahmood, 18, berkata, tiada masalah sekiranya bidang AI berkembang kerana pasaran kerja masih memerlukan manusia.

“Tanpa manusia AI sendiri tidak boleh berkembang, sebaliknya kena selari antara satu sama lain,” katanya yang berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan Kimia.

Dalam pada itu, Chan Jin Hai, 18, berpendapat bidang kegemaran perlu diletakkan sebagai keutamaan walaupun pada masa sama peluang pekerjaan bergantung kepada trend semasa.

“Pendidikan ini ibarat maraton yang panjang, saya rasa penting untuk memenuhi apa yang kita minat bagi mengekalkan tumpuan terhadap pelajaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN