SEREMBAN: Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPPKM) mencadangkan kerajaan kekal mengaktifkan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) meskipun harga komoditi itu ketika ini melebihi RM3 sekilogram.
Presidennya, Adzmi Hassan berkata, langkah mengekalkan pengaktifan tersebut dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil dan penoreh malah meningkatkan pengeluaran getah.
“Ketika ini harga getah sudah mencecah RM4 sekilogram, keinginan orang untuk menoreh sudah ada. Kita pula ada 420,000 (hektar) tidak bertoreh (kawasan tanaman getah), jadi IPG itu kekalkan dan pasti ramai yang pergi menoreh sekali gus pengeluaran getah kita juga meningkat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Semasa pembentangan Belanjawan 2024 tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan paras harga pengaktifan IPG dinaikkan kepada RM3 sekilogram dengan peruntukan RM400 juta.
Ia adalah kenaikan kali kedua di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan selepas dinaikkan kepada RM2.70 sekilogram daripada RM2.50 sekilogram.
Sementara itu, Adzmi menyifatkan kenaikan harga getah sehingga purata RM4 sekilogram belum boleh dianggap memberi keuntungan kepada pekebun kecil.
Kata beliau, ia perlu mengambil kira kos pengeluaran sebenar getah iaitu sekitar RM3.80 sekilogram.
“Pekebun kecil lazimnya tidak melihat kos dikeluarkan. Jika mereka buat betul-betul seperti membaja dan mengambil kira kos untuk pergi menoreh dan lain-lain, kenaikan harga getah sehingga RM4 hanyalah keuntungan sebanyak 20 sen sekilogram.
“Jika mereka boleh dapat kira-kira 130 kilogram getah sebulan, dengan harga RM4 sekilogram mereka hanya dapat pendapatan sekitar RM500 sebulan, tidak mengambil kira kos-kos lain,” katanya.
Dalam keadaan kos kehidupan sekarang, pendapatan tersebut masih lagi sukar,” katanya.
Menurut beliau, pekebun kecil getah dan penoreh boleh berada di tahap sedikit lega sekiranya harga getah boleh mencecah di antara RM4.50 sehingga RM5 sekilogram.
Semalam akhbar ini melaporkan kenaikan harga getah sehingga mencecah RM4 sekilogram beberapa hari lalu menggembirakan golongan penoreh.
Harga tersebut dikatakan antara yang tertinggi dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini ekoran pernah menjunam ke paras bawah RM3 sekilogram dalam tempoh lama. – UTUSAN










