PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini hari ini merekodkan bantahan pasukan peguam yang mewakili ibu kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin terhadap permohonan polis untuk merekodkan pengakuan salah wanita tersebut berkaitan siasatan kes pembunuhan anaknya.
Peguam Fahmi Abd. Moin yang mewakili bapa kanak-kanak itu berkata, permohonan polis yang dikemukakan mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan 1950 adalah tidak relevan bagi mendapatkan pengakuan salah di hadapan seorang majistret.
Beliau menyifatkan tindakan polis itu sebagai luar biasa dan memprejudiskan ibu dan bapa kanak-kanak tersebut meskipun lelaki berkenaan tidak dibawa ke mahkamah hari ini.
“Permohonan polis sepatutnya dibuat mengikut Seksyen 115 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) namun peruntukan itu telah dimansuhkan. Seksyen 26(1) yang disandarkan oleh pihak polis pula tidak relevan,” ujar Fahmi ketika ditemui pihak media di pekarangan mahkamah hari ini.
Beliau hadir pada prosiding tertutup selama sejam di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah yang merekodkan pengakuan ibu Zayn Rayyan berikutan permohonan pihak polis untuk melengkapkan siasatan kes pembunuhan kanak-kanak berkenaan.
Fahmi selanjutnya berkata, di bawah CPC tiada proses yang jelas berkaitan permohonan pihak polis untuk mendapatkan pengakuan daripada mana-mana suspek yang disiasat.
Peguam itu menjelaskan, pengakuan tersebut akan menjejaskan pembelaan anak guamnya jika didakwa di mahkamah kelak.
Sementara itu, peguam Mahmud Jumaat yang mewakili ibu Zayn Rayyan berkata, setakat ini polis masih gagal mendapatkan pengakuan salah daripada anak guamnya di hadapan majistret berkenaan.
Beliau menjelaskan, pengakuan salah jika sekalipun diperolehi ketika siasatan, ia tidak boleh digunakan ketika perbicaraan melainkan ia perlu direkod di hadapan seorang majistret.
“Namun saya tegaskan, anak guam tidak membuat pengakuan salah di hadapan majistret melainkan memberi keterangan bercanggah yang sangat ketara daripada apa yang dinyatakannya kepada pihak polis sebelum ini.
“Esok tempoh tahanan reman tamat, jika tidak didakwa, mereka akan dibebaskan dengan jaminan polis,” ujarnya.
Terdahulu, kenderaan polis yang membawa ibu kanak-kanak itu dilihat memasuki pekarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya kira-kira pukul 10.30 pagi dan meninggalkan kawasan itu kira-kira pukul 12.50 tengah hari.
Petugas media berkumpul seawal pukul 7.30 pagi bagi mengetahui perkembangan sama ada ibu bapa kanak-kanak itu akan didakwa berkaitan kes pembunuhan anak mereka atau dibebaskan dengan jaminan polis.
Meskipun polis Selangor semalam memaklumkan tempoh tahanan reman pasangan itu akan tamat esok, namun sekumpulan petugas media tetap menunggu kelibat kenderaan polis yang membawa kedua-duanya.
Teka teki siapa yang akan muncul di mahkamah terjawab sebaik sahaja kenderaan polis membawa ibu kanak-kanak berkenaan memasuki pekarangan kompleks tersebut yang kelihatan lebih sesak daripada kebiasaannya.
Penantian petugas media mempunyai asas ekoran kenyataan Fahmi semalam yang mewakili pasangan itu bahawa pertuduhan boleh dilakukan pada hari sama reman tamat atau keesokannya bergantung kepada arahan pihak pendakwaan.










