NIBONG TEBAL : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi memastikan anak-anak yang cemerlang mendapat tempat untuk melanjutkan pengajian masing-masing.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kerjasama itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang memberi jaminan bahawa semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas serta memohon melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, akan mendapat tempat tanpa mengira kaum atau latar belakang.
Sehubungan itu, Fadhlina berkata, beliau dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir akan meneliti perkara tersebut secara bersama bagi memastikan ia dapat direalisasikan sepenuhnya.
“Pertamanya, saya mahu ucap terima kasih kepada PM atas pengumuman yang cukup penting dan signifikan ini, apatah lagi jaminan (yang diberi) untuk mendapatkan serta meneruskan pengajian di peringkat tinggi buat anak-anak cemerlang SPM tahun ini.
“Kita (bersama KPT) akan lakukan tindakan selanjutnya (susul tindak) dengan pengumuman-pengumuman lain bagi menjamin pendidikan semua pihak tanpa kira latar belakang dan kaum,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri itu.
Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal hadir pada Program Fisioterapi dan Penjagaan Wajah bersama masyarakat setempat di Simpang Ampat, Nibong Tebal di sini, petang tadi.
Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun berharap agar pengumuman itu tidak akan menimbulkan sebarang kegusaran terutamanya dari segi kuota bumiputera.
“Ini kerana kuota itu dikekalkan dan pada masa sama, kita memberikan peluang pendidikan lebih luas kepada semua pelajar cemerlang melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi tanpa mengira latar belakang dan kaum,” katanya.-UTUSAN










