SEREMBAN: Penduduk sekitar Taman Gadong Jaya, Labu di sini meminta pihak berwajib memasang semula lampu isyarat di kawasan simpang empat di situ bagi mengelak kemalangan jalan raya.
Pemasangan lampu isyarat itu juga bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin memandangkan kemalangan sering berlaku di persimpangan empat tersebut termasuklah kemalangan maut.
Seorang penduduk, Mohd. Noor Fazil, 63, berkata, pemasangannya di situ boleh disifatkan sebagai keperluan mendesak penduduk terutama apabila kawasan sekitar semakin pesat membangun ditambah bilangan kenderaan yang semakin banyak.
Menurutnya, apabila waktu puncak, kenderaan memang banyak, jadi pemasangan lampu isyarat ini menjadi satu keperluan buat penduduk bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku.
“Kami bimbang, kerana jalan di sini lurus dan kenderaan sering dipandu laju, lebih- lebih lagi kenderaan berat. Oleh itu, tolong pasang semula lampu isyarat di laluan ini untuk memastikan aliran trafik yang lebih selamat.
“Papan tanda amaran keselamatan juga perlu dipasang di sepanjang laluan bagi memberi makluman kepada pengguna jalan raya mengenai keadaan simpang empat tersebut selain mengurangkan kelajuan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker memberitahu, banyak aduan dan keluhan penduduk telah diterimanya mengenai perkara berkenaan.
“Pihak berwajib ada mengatakan tiada keperluan pemasangan lampu isyarat di simpang empat di Taman Gadong Jaya ini kerana lokasinya berdekatan dengan lampu isyarat di jalan utama iaitu lebih kurang 400 meter sahaja, tetapi isu keselamatan penduduk sekitar tidak boleh diketepikan,” katanya. – UTUSAN










