KANGAR: Kekalahan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu sebelum ini menuntut gabungan tersebut untuk berusaha lebih keras bagi memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap tidak terlepas kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRK 6 Julai depan.
Sehubungan itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menyeru kerjasama penuh daripada seluruh jentera PN termasuk daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) agar membantu calon Pas yang bakal diketengahkan dalam PRK itu secara habis-habisan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Hashim berkata, tumpuan sepenuhnya perlu diberikan bagi memastikan Pas berjaya mengulangi kemenangan di kerusi berkenaan.
“Saya harap, tenaga yang ada akan terus membantu dan memberi sokongan kepada calon yang dipilih. Amat kita harapkan juga kerjasama daripada penyokong sahabat kita (Bersatu) akan turun habis-habisan membantu kemenangan calon kita.
“Kekalahan di Kuala Kubu Baharu baru-baru ini menekankan supaya kita berusaha lebih gigih lagi dalam mendepani PRK Sungai Bakap.
“Daripada soal calon, saya rasa tidak akan ada masalah kerana Pas akan meletakkan calon di kerusi berkenaan dan kita juga telah buktikan kemampuan dengan menang di kerusi berkenaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang sebelum ini,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 22 Jun ini manakala undi awal pada 2 Julai.
Sejumlah 39,279 pemilih terlibat dalam pilihan raya kecil tersebut dengan peruntukan kos kira-kira RM2.1 juta.
Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.
Dalam Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Sementara itu, Hashim berkata, PN perlu mengulangi kemenangan di Sungai Bakap bagi mengimbangi kedudukan politik di Pulau Pinang yang diperintah DAP.
“Kita nak imbangkan kedudukan politik terutama di Pulau Pinang yang selama ini diperintah oleh DAP dan banyak karenah DAP yang menyentuh hati kecil orang Islam di sana. Maka kita perlu ada suara-suara membela Islam di Pulau Pinang itu sendiri,” katanya. – UTUSAN










