KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk menyalurkan peruntukan kepada semua wakil rakyat pembangkang tanpa perlu melalui rundingan.
Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh berkata, kerajaan sebaliknya boleh melaksanakan penguatkuasaan yang ketat bagi memantau ahli-ahli politik.
Menurut beliau, pemantauan tersebut bagi membolehkan setiap sen peruntukan disalur kepada semua wakil rakyat akan digunakan untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat di kawasan masing-masing.
“Ia melibatkan hak asasi manusia dan keadilan, sepatutnya peruntukan pembangkang tidak memerlukan rundingan. Tidak perlu perbincangan atau menetapkan syarat-syarat tertentu, perlu disalurkan secara adil mengikut Perlembagaan.
“Ini kerana Parlimen pembangkang itu rakyatnya adalah rakyat Malaysia yang sudah jelas berhak menerima peruntukan,” katanya ketika membahaskan usul Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2021-2022 di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, usul itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said sebaik selesai sesi soal jawab lisan.
Mengulas lanjut, Mohamad Zulkifly berkata, Perikatan Nasional (PN) memberi peruntukan kepada semua wakil rakyat termasuk pembangkang sewaktu mereka menjadi kerajaan.
“Sekiranya politik negara kita nak maju ke depan, kerajaan seharusnya memberi peruntukan yang seimbang kepada semua ahli politik tanpa mengira blok kerajaan atau pembangkang,” katanya.
Namun, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menafikan kenyataan Mohamad Zulkifly dengan mengatakan Pakatan Harapan (PH) tidak memperoleh sebarang peruntukan sewaktu Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.
“Ketika Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) menjadi Perdana Menteri, baru kita dapat peruntukan yang diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang. Jadi saya minta kenyataan itu diperbetulkan,” katanya.
Bagaimanapun, Mohamad Zulkifly mempertahankan kenyataannya.
Terdahulu, media melaporkan, tuntutan berkenaan peruntukan oleh wakil rakyat pembangkang akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ini susulan pertemuan beliau dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Parlimen pada 19 Mac lepas.- UTUSAN










