PASIR SALAK: Penerbit video Opah dron tidak menyangka video disiarkan pada 2022 itu tular semula sehingga menjadi fenomena dalam media sosial.
Video tersebut diterbitkan Institut Agro Usahawan (iGROW) Kampung Gajah, dua tahun lalu.
Pengerusi Eksekutif iGROW, Nordin Abdul Malek percaya netizen menjadikannya viral semula ketika ini mungkin disebabkan durian Perak sebahagiannya sudah mula luruh.
Katanya, video yang sarat dengan pelbagai mesej itu sudah menjangkau lebih 10 juta tontonan melalui pelbagai saluran media sosial.
“Konsep strategi pengiklanan bercerita yang diperkenalkan IGROW sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 lalu ternyata berkesan.
“Video yang viral semula baru-baru ini memaparkan celoteh Opah Yang atau nama sebenarnya Saerah Abdul Majid, 83, melakonkan watak nenek zaman moden yang menguruskan kebun duriannya menggunakan dron.
“Video itu viral semula selepas dua tahun diterbitkan membuktikan keupayaan konsep video pendek berkenaan yang bersifat evergreen terutama ketika musim durian,” katanya.
Katanya, ramai netizen yang menganggap Opah Dron mempamerkan satu imej baharu kepada warga emas di negara ini. – UTUSAN











