DUNGUN: Sekumpulan nelayan yang baru pulang dari menangkap ikan terkejut apabila menemukan mayat dalam keadaan terapung di sekitar perairan Paka, deket sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, mayat yang dipercayai lelaki dan hanya berbaju warna gelap itu ditemukan pada jarak kira-kira 5.3 batu nautika, kira-kira pukul 11 pagi.
“Nelayan yang baru pulang dari laut itu kemudiannya menghubungi Balai Polis Paka dan memaklumkan penemuan mayat itu.
“Pasukan Polis Marin bergegas ke lokasi penemuan dan usaha pencarian mayat itu sedang dilakukan berikutan mayat tersebut tidak diikat dan dikhuatiri hanyut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Maizura berkata, pihaknya akan turut melihat sama ada terdapat laporan kehilangan ahli keluarga bagi mengenal pasti identiti mangsa.
“Kita juga meminta mana-mana pihak yang kehilangan ahli keluarga untuk membuat laporan polis,” katanya. – UTUSAN










