KLANG: Hasrat dua nelayan bersaudara menangkap ikan bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka hilang selepas bot dinaiki terbalik akibat dipukul ombak di perairan Pantai Acheh, Pulau Indah di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, cuaca buruk menyebabkan mangsa, Mohd. Fazil Paijan, 36, masih gagal dikesan setakat ini.
Namun, sepupunya, Arnizam Ibrahim, 43, terselamat selepas dua jam berpaut pada bot gentian kaca itu dan diselamatkan bot lain, kira-kira pukul 3 petang hari sama.
Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, siasatan mendapati dua nelayan
yang tidak memakai jaket keselamatan itu pergi ke laut pukul 8 pagi.
“Seorang daripada mangsa sempat berpaut pada bot yang terbalik pada kedudukan 1.8 batu nautika barat pantai berkenaan.
“Lelaki itu kemudian diselamatkan bot milik pelabuhan berhampiran yang sedang dalam urusan membawa masuk dan keluar kapal besar ke dermaga,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, pihaknya yang menerima laporan kehilangan mangsa mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) pukul 5 petang.
“Operasi bagaimanapun terpaksa ditangguhkan pukul 7.30 malam akibat cuaca buruk dan gelap. Maritim Selangor turut membuka Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Marin Pulau Indah bagi menyelaraskan usaha operasi di sektor pencarian yang diteruskan pagi tadi,” ujarnya.
Tambah Abdul Muhaimin, lima aset digerakkan dalam operasi itu dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM), bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan sebuah pesawat polis AW 139 meliputi radius pencarian 102 batu nautika persegi.
Dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya menggagalkan cubaan menyeludup 50 karton rokok tanpa kebenaran dengan sebuah bot penumpang di perairan Tanjung Harapan di sini, pukul 12.30 tengah hari kelmarin.
“Pemeriksaan mendapati bot dikendalikan seorang nakhoda dan kru itu mengambil 10 penumpang dari kapal dagang yang bersauh untuk dibawa ke jeti Pulau Ketam.
“Mereka bagaimanapun gagal mengemukakan sijil insuran yang sah dan membawa 50 karton rokok tanpa kebenaran. Kesemuanya ditahan bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN










