NIBONG TEBAL : Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru orang Melayu untuk keluar mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai ini sekiranya tidak mahu melihat negara ini ‘terlungkup’.
Beliau berkata, setiap undi amat bernilai dan negara akan terlungkup sekiranya orang Melayu tidak keluar untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Katanya, undi bukan hanya untuk mengisi kekosongan kerusi semata-mata, malah, ia boleh menjadi isyarat penolakan kepada Kerajaan Perpaduan.
“Saya tak kata orang Melayu ini kurang kuasa, suara org Melayu ini kecil. Orang tak nak dengar…sudahlah tapi bilangannya ramai.
“Kalau ada 1,000 pengundi Melayu, yang datang cuma 500, mana pergi lagi 500? Tidur? Tak ada rasa tanggungjawab kah?
“Boleh tak kali ini orang Sungai Bakap semua keluar mengundi? Pengundi ada dekat 38,000. Biar kali ini Cina, India, Melayu keluar mengundi maka peratusnya akan menjadi 100 peratus dan saya pasti Insya Allah ‘gerenti’ Perikatan Nasional (PN) akan menang,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Ceramah Perdana PN bagi PRK berkenaan di Unit Daerah Mengundi (UDM) Puteri Gunung 2 di sini, malam tadi. Hadir sama, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, ketika ini, beliau dapati bahawa wujud satu kecenderungan yang mutakhir di mana orang Melayu kurang berminat untuk mengundi.
“Siapa yang hendak menjaga negara kalau undian dia (pengundi) tidak digunakan. Katanya, negeri ini Tanah Melayu. Asalnya begitu. Sekarang ni Malaysia tak apa lah .
“Walaupun orang Melayu bilangannya ramai, tetapi mereka kurang memahami bab politik…kalau Melayu tak nak guna hak mengundi dan biarkan begitu sahaja dan biar orang lain mentadbir negara, kita ‘dok’ jadi miskin papa kedana pun tak apa, sedangkan mana boleh begitu.
“Apapun, paling penting sampaikan kepada rakan-rakan lain yang berada di dalam dan luar Sungai Bakap supaya balik mengundi dan usahlah tinggalkan dan biarkan begitu sahaja,” katanya.
Kerusi DUN Sungai Bakap melibatkan pertandingan satu lawan satu yang menyaksikan pertembungan antara dua calon iaitu Dr Joohari Ariffin daripada Kerajaan Perpaduan dengan calon PN, Abidin Ismail.-UTUSAN








