MTUN meterai 23 MoU perluas pekerjaan TVET

MTUN meterai 23 MoU perluas pekerjaan TVET

ZAMBRY Abd Kadir (dua dari kiri) ketika menandatangani plak pada robot sebagai simbolik pelancaran MTUN Advanced TVET 2030, Malaysia-China Kaiwu Workshop, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) melancarkan MTUN Advanced TVET 2030, Malaysia-China Kaiwu Workshop bagi memperluas usaha kerajaan dalam memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Selain itu, MTUN turut memeterai 23 memorandum persefahaman (MoU) dengan rakan strategik melibatkan industri utama dalam negara bagi bidang tersebut.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kerjasama itu bagi memastikan keperluan tenaga kerja dapat diselaraskan dengan pihak universiti melibatkan empat universiti teknikal dalam negara. 

“Kita membawa semua pihak untuk berbincang antara pihak universiti dan para akademik tentang keperluan dalam industri dan juga persiapan di peringkat akademik bagi menyediakan peluang pekerjaan yang diperlukan.

“Selain itu, universiti juga mampu menjadi tempat untuk mengasah bakat dan mengadakan program kajian yang berkaitan industri TVET,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis tersebut.

Terdahulu, Zambry merasmikan MTUN Industry-Academia Discourse on Advanced TVET 2024 (MIAD 2024) yang diadakan di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, masyarakat tidak boleh lagi menganggap bidang TVET sebagai bidang ‘kelas kedua’ disebabkan kerajaan sedang menyediakan peluang yang amat luas untuk pendidikan TVET tahap tinggi.

“Kita menyediakan laluan dari bawah sampai ke atas. Habis kursus di peringkat kolej komuniti mereka boleh ke politeknik dan kemudian ke universiti. Dulu, habis sekolah vokasional atau sekolah teknik (terus) mencari pekerjaan. Sekarang, kita buka peluang sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD). 

“Tiada lagi siapa masuk sekolah vokasional adalah ‘kelas kedua’. Pemikiran itu sudah tidak ada. Kerajaan tidak lagi membezakan sekolah vokasional yang dikatakan kelas kedua. Kita sudah menyediakan ruang untuk setiap pelajar,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa  MTUN, Prof. Datuk Dr. Massila Kamalrudin berkata, inisiatif Advanced TVET 2030 bertujuan meningkatkan kualiti TVET di Malaysia dengan melengkapkan tenaga kerja masa hadapan dengan kemahiran dan gaji yang lebih tinggi. 

“Adalah penting bagi semua pihak berkepentingan untuk terus terlibat dalam menghasilkan kepakaran teknikal di peringkat global dan serantau selain memudahkan perkongsian pengalaman antara Malaysia dan negara lain.

“Acara ini memacu aspirasi kami ke hadapan, menyediakan platform untuk pihak berkepentingan dan bertukar fikiran bermakna yang merancang tindakan masa depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN