PETALING JAYA: Kira-kira 95 peratus kanak-kanak di Kuala Lumpur hidup dalam keluarga miskin dengan 40 peratus daripada mereka datang dari keluarga di bawah tahap kemiskinan.
Statistik dikeluarkan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) itu menunjukkan kemiskinan tegar, iaitu kemelaratan paling parah, kekal pada lapan peratus dan tertinggi setakat Oktober 2023.
Situasi itu membawa kepada meningkatnya risiko untuk kanak-kanak sering dieksploitasi menjadi buruh paksa bagi membantu kewangan keluarga.
Menurut pakar psikologi kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Fauziah Mohd. Sa’ad, keluarga yang miskin sering terpaksa menghantar anak-anak mereka untuk bekerja bagi menambah pendapatan.
“Kalau kita lihat, anak-anak ini akan bekerja selepas waktu persekolahan ataupun ada yang tidak bekerja bagi mencari pendapatan lebih untuk membantu kewangan keluarga mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah beliau, situasi ini menyebabkan kanak-kanak ini terlepas peluang pendidikan disamping hak mereka untuk belajar dinafikan.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan seramai 73 individu termasuk 22 kanak-kanak dipercayai dieksploitasi sebagai buruh paksa diselamatkan polis dalam serbuan berasingan di seluruh negara pada 12 Jun lalu.
Dalam Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022 yang dikeluarkan pada 28 Julai 2023, kategori pendapatan bagi B40 adalah RM5,250 ke bawah; M40 RM5,250 hingga RM11,819 dan T20 RM11,820 ke atas.
Pada 30 November 2023, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, 47 peratus daipada 6.5 juta pekerja formal menerima gaji di bawah pendapatan garis kemiskinan iaitu RM2,589 sebulan berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan 2022.
Dalam pada itu, pakar kanak-kanak dari Fakulti Pengurusan, Pendidikan dan Kemanusiaan, Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP, Prof. Dr. Bustam Kamri berkata, penguat kuasa perlu lebih tegas dalam membendung isu ini.
“Akta dan undang-undang memang sudah ada, cuma kurang penguatkuasaan. Jadi, apa yang boleh dilakukan adalah dengan menguatkuasakan akta kanak-kanak,” jelasnya.
Tambah beliau, di Malaysia, kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang di bawah umur 18 tahun seperti termaktub dalam Akta Kanak-Kanak 2001.
“Jadi, akta ini boleh menggariskan dengan lebih teliti sebenarnya lingkungan kanak-kanak kerana wajar bagi mereka yang berumur 17 tahun untuk bekerja dan bukan didefinisi sebagai buruh paksa,” katanya.
“Yang salah adalah bagi kanak-kanak yang bawah 12 tahun untuk bekerja kerana mereka perlu diberikan hak untuk belajar dan menerima pendidikan,” katanya. –UTUSAN










