KUALA LUMPUR: Minggu Latihan Nasional 2024 telah mencatatkan penyertaan luar jangka dengan 300,000 orang dengan 65,000 kursus kemahiran.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, jumlah itu telah melebihi sasaran ditetapkan pihaknya sekali gus mengambarkan program itu menerima sambutan tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.
Beliau berkata, setakat ini sebanyak 65,000 kursus kemahiran percuma telah dilaksanakan di bawah program Minggu Latihan Kebangsaan 2024 bermula 24 hingga 30 Jun.
“Sasarannya adalah 25,000 kursus kemahiran, tetapi ia telah melebihi sasaran dalam program ini yang berlangsung di seluruh negara.
“Penyertaan telah mencecah 300,000 rakyat Malaysia, target sebenar adalah 200,000 tetapi hari ketiga dalam melebihi sasaran.
“Ini membuktikan rakyat Malaysia mendahagakan latihan kemahiran dan program ini mempunyai daya tarikan untuk menarik orang awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Perintis Kecemerlangan Menteri bersempena Minggu Latihan Kebangsaan 2024 di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Chee Keong berkata, pihaknya bersama 12 kementerian lain yang mempunyai pegangan dalam sektor TVET komited bagi memastikan pelaburan baharu masuk ke negara ini mempunyai tenaga kerja mencukupi dan sesuai.
“Saya yakin pelaburan yang masuk ke Malaysia mempunyai bakat kerja yang mungkin bukan satu keseluruhan dalam satu masa.
“Hal ini kerana jika pelabur membuat keputusan untuk melabur ke negara ini mereka menunjukkan keyakinan terhadap bakat sumber negara kita,” katanya. – UTUSAN










