LOS ANGELES: Bintang drama The Mindy Project, Mindy Kaling mendedahkan dia kini bergelar ibu anak tiga menerusi kelahiran cahaya mata bongsunya awal tahun ini.
Pelakon berusia 45 tahun itu membuat pendedahan tersebut menerusi media sosialnya, baru-baru ini.
“Saya lahirkan anak perempuan, Anne pada penghujung Februari lepas.
“Dia adalah hadiah hari jadi yang paling istimewa untuk saya,” katanya menerusi Instagram.
Pelakon berasal dari Cambridge, Massachusetts itu turut berkongsi gambar bayi tersebut di platform sama.
Mindy atau nama sebenarnya, Vera Mindy Chokalingam bagaimanapun tidak mendedahkan identiti bapa kepada anak berkenaan.
“Ketiga-tiga anak ini mengingatkan saya betapa indahnya kehidupan ini.
“Saya beruntung kerana tinggal di kawasan yang membolehkan saya membesarkan mereka sendirian,” katanya.
Selain Anne, Mindy juga merupakan ibu kepada Katherine Swati, 6 dan Spencer Avu, 3.











