Menteri, ahli politik turun Sungai Bakap bukan tabur 'gula-gula'

Menteri, ahli politik turun Sungai Bakap bukan untuk tabur ‘gula-gula’

FAHMI Fadzil (tengah) ketika menghadiri Program Sembang Santai Komuniti Madani di Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Usaha anggota Jemaah Menteri dan ahli politik turun ke lapangan khususnya ke Sungai Bakap ketika ini bukan untuk menabur ‘gula-gula’ sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu tidak lama lagi.

Sebaliknya, jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata, ia bertujuan membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh penduduk setempat sahaja.

Menurut Fahmi, tindakan itu juga sejajar dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan setiap menteri cakna serta mencari jalan penyelesaian bagi setiap isu yang berbangkit.

“Dakwaan (menteri turun kawasan PRK) untuk tabur ‘gula-gula’ itu tak betul. Saya berada di sini kerana ada kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak petang nanti untuk menyampaikan jemputan Pertabalan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-17 iaitu Sultan Ibrahim.

“Jadi, saya ambil kesempatan ini juga untuk adakan program di bahagian Seberang Perai kerana pertemuan bersama TYT itu di pulau. Kita mahu (berlaku) adil kepada kedua belah kawasan (pulau dan seberang) dan ia tak jadi isu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas mengenai dakwaan ramai menteri, timbalan menteri turun ke kawasan Sungai Bakap bagi menabur ‘gula-gula’ sempena PRK Sungai Bakap.

Terdahulu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menghadiri Program Sembang Santai Komuniti Madani di Sungai Bakap sini, hari ini.

Mengulas lanjut Fahmi berkata, beliau turut menggunakan kesempatan dengan meluangkan masa mendengar sendiri keluhan masyarakat berhubung isu air di daerah Seberang Perai Selatan (SPS). –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×